
Selain melancarkan pelbagai model skuter kelas 250cc ke atas di Malaysia, Mforce Bike Holdings (Mforce) juga merancang untuk memperkenalkan model skuter asas (entry level).
Model ini dikenali sebagai Morbidelli Vizy 125i dan akan menjadi pencabar terbaharu untuk skuter kelas 125cc yang sekian lama didominasi produk berjenama Jepun seperti Honda dan Yamaha.
Vizy 125i ini sebenarnya adalah kembar kepada model Keeway Icon 125S di pasaran luar, banyak kongsi komponen dan spesifikasi sama kecuali di beberapa pasaran Eropah.
Mengapa Morbidelli Vizy 125i muncul?

Salah satu sebab yang biasa kita dengar bila setiap kali pelancaran mana-mana pengeluar ialah:
“..sebagai satu usaha memenuhi maklum balas pasaran / menyediakan model mampu milik untuk penuhi permintaan orang ramai.”
Betul. Tiada sesiapa menafikan penjelasan di atas. Namun, ada beberapa senario juga mendorong kepada kemunculan model-model baharu terutamanya dalam kelas seperti 125cc.
Jika anda masih ingat, Yamaha sudah mempertaruhkan pencabar terbaharu mereka iaitu Yamaha EGO Gear Pro selepas pelancaran di Kuala Terengganu, Terengganu pada penghujung tahun lalu.
Honda juga menambah varian baharu untuk menyertai perlumbaan skuter kelas 125cc dengan pelancaran Honda Vario Street 125.
Tidak lupa juga Aveta mengetengahkan model Aveta Bellagio 125 kira-kira dua bulan lalu dan Aveta Serra 125.
Royal Alloy enggan melepaskan peluang dan menampilkan siri Royal Alloy GT125S.
Selain itu, pengurangan kuota subsidi bersasar BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter disebabkan konflik Iran-Israel-Amerika Syarikat turut memberi kesan kepada trend pembelian skuter atau motosikal entry level di Malaysia.
Morbidelli Vizy 125i kembar Keeway Icon 125S?
Jawapan ringkas, ya. Perbezaan lebih berat kepada aspek kosmetik seperti warna, logo, grafik badan dan lencana.
Kami menjangkakan spesifikasi untuk Morbidelli Vizy 125i adalah hampir sama seperti Keeway Icon 125S edisi 2025 dan bukannya model 2026.
Ini kerana Keeway Icon 125S edisi 2026 sudah meningkatkan ciri pembrekan dengan penggunaan brek cakera untuk roda belakang. Model ini sudah mula dijual di beberapa pasaran Eropah.
Artikel Berkaitan
- Keeway Icon 125S (2025) pinjam idea dari model popular Jepun?
- Yamaha EGO Gear Pro (2025) jadikan saingan dalam segmen skuter 125cc lebih sengit?
- Honda Vario 125 Street (2026) buat kemunculan di Malaysia, harga badan mula dari RM7,468























