
Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan ketibaan edisi istimewa skuter Honda ADV160 Trico Edition (2026) yang dilengkapi teknologi Honda Roadsync ke pasaran tempatan.
Skim warna untuk skuter ini menggabungkan rona ikonik merah, putih dan biru. Setiap pembelian model ini akan didatangkan dengan barang khas seperti earbuds JBL dan balaclava MOTOWOLF.

Model ini ditawarkan bersama pilihan warna sedia ada Honda ADV160 RoadSync iaitu Matte Grey (kelabu) dan Brown (coklat). Pun begitu, harga badannya masih ada perbezaan.
Honda ADV160 Trico Edition ini sama harga badan dengan versi ADV160 Spider-Man Edition iaitu RM14,149
Harga untuk ADV160 warna Matte Grey dan Brown pula ialah RM13,649 seunit, tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
Spesifikasi masih sama seperti model Honda ADV160 versi RoadSync. Antara ciri menariknya ialah ada meter 5 inci TFT berwarna yang boleh disambung pada telefon pintar, HSTC, brek ABS, sistem kemasukan kunci pintar serta ruang simpanan 30 liter bawah pelana.
Honda ADV160 Trico Edition dengan Honda Roadsync boleh didapati menerusi rangkaian Honda Impian X dan pengedar sah bermula 9 Oktober 2026.
Jaminan diberi dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km, mana-mana tiba dulu.











