
Kami menjangkakan Boon Siew Honda (BSH) akan melancarkan model skuter Honda Vario 125 edisi 2026 seperti yang sedang dijual di Filipina.
Namun, jangkaan itu nampaknya kurang tepat kerana BSH melancarkan versi berbeza iaitu Honda Vario 125 Street (2026).

Model Street ini sudah membuat kemunculan di Indonesia semenjak 1 Disember 2025. Malah sebahagian besar spesifikasinya adalah sama seperti model yang dilancarkan BSH petang tadi.
Perbezaan utama model Street dengan Vario biasa ialah bahagian kepala. Street ‘tiada panel kepala’ untuk mendedahkan sepenuhnya bar hendal.
Pun begitu, instrumen meter jenis ‘terapung’ dan diposisikan di hadapan bar hendal, bukan bersambung.
Boleh dikatakan BSH benar-benar mencuba nasib dengan memperkenalkan model skuter jenis street gaya naked tanpa sebarang penghadang angin (windshield) di Malaysia.
Selain ‘tanpa kepala’, bahagian panel dan badan Vario 125 Street ini menampakkan sifat sebuah skuter bandar biasa.
Panel depan (dada skuter) masih mengekalkan bentuk V tetapi rekaan serba baharu dengan lampu DRL bentuk Y, lampu utama LED dan lampu signal jenis capang.
Lampu belakang turut dikemas kini, kini lebih nipis berbanding Vario 125 biasa sedia ada. Sebahagian besar spesifikasinya masih kekal sama macam Vario 125 yang diperkenalkan pada tahun 2023.



























































