EICMA 2026: Apa beza CFMOTO 550MT dan 550MT-X (2027) ?

CFMOTO menampilkan dua model motosikal baharu iaitu CFMOTO 550MT dan 550MT-X sempena Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2026 baru-baru ini.

Dua model tersebut nampak macam sama termasuk berkongsi enjin sama namun kedua-duanya ada perbezaan dengan sasaran pengguna tersendiri.

Berdasarkan maklumat, 550MT dan 550MT-X dikatakan bukannya pengganti model siri 450 CFMOTO namun kita tunggu sahaja perkembangan selepas ini.

Setakat ini, belum ada pengumuman harga dibuat untuk kedua-dua model tersebut.

CFMOTO 550MT dan 550MT-X untuk siapa?

  • CFMOTO 550MT lebih bersifat kegunaan kembara melalui jalan berturap.
  • Model CFMOTO 550MT-X pula lebih sesuai untuk mereka yang gemar menunggang di laluan off-road dan jalan raya.

2 model, 1 enjin

Enjin CFMOTO 550MT dan 550 MT-X jenis dua silinder sebaris (parallel twin) 527cc DOHC 8-injap dengan aci engkol 270ยบ, dilengkapi sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api.

Enjin ini dikatakan 17 peratus lebih besar daripada enjin CFMOTO 450MT (kapasiti 449cc) tetapi 550MT dan 550 MT-X menerima peningkatan prestasi kuasa sebanyak 30 peratus dan tork 25 peratus.

550MT dan 550MT-X menawarkan kuasa 54bhp pada 8,500rpm dan tork 52Nm pada 6,000rpm.

Enjin sama, sistem klac berbeza

CFMOTO 550MT dan 550MT-X menggunakan kotak gear 6-kelajuan tetapi perbezaannya pada aspek klac.

550MT dapat opsyen klac elektronik dan ciri Quickshifter dua arah (atas dan bawah). Operasi sistem klac model ini ala-ala macam E-Clutch Honda. Ada klac tangan, nak guna boleh….tak nak pun tak apa.

Klac elektronik akan kawal operasi klac ketika motor mula gerak, tukar gear dan berhenti. Anda tak perlu tarik tuil klac tangan untuk operasi ini.

Quickshifter dua hala pula bantu gear ditukar naik dan turun tanpa perlu tarik tuil klac. Pun begitu, tuil klac tangan dikekalkan. Anda boleh gunakannya secara manual jika mahu.

Model 550MT-X pula menggunakan klac manual (tiada klac elektronik) tetapi masih dilengkapi dengan Quickshifter dua hala.

Sistem suspensi dan jarak bumi

550MT dan 550MT-X didatangkan dengan sistem suspensi jenama KYB boleh laras sepenuhnya tetapi dilaporkan ada perbezaan tersendiri.

  • 550MT pula masih belum didedahkan jarak gerak dan jarak lega bumi rasmi.
  • 550MT-X dikatakan menawarkan jarak gerak (travel) lebih panjang iaitu 230mm untuk fork dan 220mm di belakang. Jarak lega bumi 250mm.

Rim dan tayar

  • 550MT menggunakan rim multi-jejari tanpa tiub bersaiz 19 inci depan dan 17 inci belakang. Tayar jenama CST disarung bersaiz 110/80-19 (depan) dan 150/70-17 (belakang).
  • 550 MT-X dapat rim multi-jejari lebih besar iaitu 21 inci depan dengan tayar 90/90 dan rim 18 inci di belakang beserta saiz tayar 140/70. Jenama tayar juga CST.

Sistem brek

Perbezaan juga membabitkan sistem brek jenama J.Juan untuk kedua-dua motosikal.

  • 550MT menggunakan brek cakera berkembar untuk roda depan dan cakera tunggal di belakang. Tiada saiz cakera didedahkan secara rasmi.
  • 550MT-X pula menggunakan cakera tunggal jenis petal sebagai brek depan, berukuran 320mm. Brek belakang juga jenis tunggal bersaiz 240mm.

Tinggi tempat duduk dan berat

Tinggi pelana

  • 550MT: pelana terpisah untuk penunggang dan pembonceng, ketinggian pelana 800mm dan boleh laras sehingga 820mm.
  • 550MT-X: pelana bersambung dengan ketinggian 830mm, boleh tingkatkan kepada 850mm.

Berat

  • Berat untuk 550MT masih belum diumumkan tetapi dipercayai lebih berat berbanding 550MT-X.
  • 550MT-X adalah seberat 183kg (berat kering 172kg).

Tangki minyak

  • 550MT dibekalkan tangki petrol 23 liter.
  • 550MT-X dapat tangki 16 liter.

Teknologi

550MT

  • Dapat pakej elektronik lebih canggih seperti IMU yang bolehkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Belokan (Cornering ABS) dan Kawalan Cengkaman Belokan (Cornering Traction Control).
  • Meter TFT 8 inci dengan sambungan Apple CarPlay.
  • Menggunakan sistem kekunci pintar yang menyokong penggunaan NFC dan Bluetooth
  • Ada Sistem Pengesan Belakang (rear detection system).
  • Ada Kawalan Jelajah (Cruise Control).

550MT-X

  • Ada fungsi ABS untuk off-road, membolehkan ABS roda belakang dipadamkan.
  • Kawalan Cengkaman (Traction Control) boleh dipadamkan untuk kegunaan off-road.
  • Meter TFT 6.2 inci dengan fungsi sambungan MotoPlay menggunakan telefon pintar.

Pesaing rapat

Antara pesaing yang bakal ditemui siri CFMOTO 550MT dan MT-X ialah Kawasaki KLE500 Smartride, Honda NX500 E-Clutch dan BMW F450GS Easy Ride Clutch.

Artikel Berkaitan EICMA 2026: