Kawasaki KLE500 SE Smartride (2027) …. tak perlu main klac tangan?

Kawasaki mengumumkan lagi satu varian baharu untuk model motosikal adventure kelas pertengahan mereka dan varian ini dipanggil KLE500 SE Smartride.

KLE500 SE Smartride ialah varian ketiga selepas KLE500 standard dan KLE500 SE. Bezanya ialah varian KLE500 SE Smartride dapat dua ciri terbaharu.

Pertama ialah sistem klac automatik yang dinamakan Smartride. Sistem ini tidak memerlukan penunggang menggunakan klac tangan untuk memulakan tunggangan atau semasa berhenti.

Tapi anda masih tetap perlu tarik klac tangan dan tukar gear macam biasa. Sebabnya, ini bukan transmisi automatik dan tidak menggunakan ciri kawalan elektronik tambahan.

Kedua, tayar yang digunakan jenis tanpa tiub (tubeless). Nampaknya… saiz tayar belakang dibesarkan kepada 150/70-17 berbanding saiz 140/70-17 digunakan varian Standard dan SE.

Sistem klac Smartride

Smartride ini mengandungi dua klac. Kawasaki meletakkan seunit klac emparan (centrifugal clutch) kompak dalam unit klac konvensional KLE500 SE Smartride.

  • Klac emparan kompak yang akan buka dan tutup secara automatik semasa mula bergerak atau ketika mahu berhenti.
  • Klac multi-plet basah pula beroperasi melalui tuil klac tangan (lever) untuk tukar gear semasa menunggang.

Klac emparan kompak ini akan bertindak ikut kelajuan enjin dan hanya kawal sambungan kuasa enjin semasa mula bergerak dan putuskan kuasa enjin bila motosikal berhenti.

Tak perlu tarik klac tangan bila berhenti di lampu isyarat walaupun meter masih menunjukkan gear belum neutral.

Bila pulas semula throttle, klac emparan akan bersambung (engage) secara automatik. Andai kelajuan enjin turun ke tahap melahu (idle), sistem ini akan pisahkan sambungan enjin dan kotak gear untuk elakkan kejadian enjin mati.

Bila nak masuk pasaran?

Model Kawasaki KLE500 SE Smartride ini akan memasuki pasaran Eropah dan Jerman menjelang Disember ini sebelum diperkenalkan di United Kingdom awal tahun 2027.

Jepun pula akan menyambut model KLE500 SE Smartride sekitar musim bunga. Malaysia? Kita ada model Standard sahaja, SE masih belum nampak bayangan dan Smartride pula… mungkin perlu sedikit masa.

Perincian KLE500 SE Smartride

Kawasaki KLE500 SE Smartride hanya didatangkan dengan satu warna pilihan iaitu Pearl Blizzard White (putih)… buat masa ini.

Smartride dibangunkan daripada versi SE dengan dua tambahan ciri di atas (klac automatik dan tayar tanpa tiub).

Dilengkapi meter TFT berwarna, penghadangan angin lebih besar, lampu signal LED, plet aluminium pelindung bawah enjin dan gard tangan (hand guard).

Enjin kekal sama iaitu dua silinder sebaris 451cc DOHC yang sama digunakan Ninja 500 dan Z500. Kuasa maksimum ialah 45PS dan tork 42.6Nm.

Berat kering untuk model SE dan SE Smartride ialah 176kg.

Kotak gear manual 6-kelajuan dengan klac Assist & Slipper.

Tangki minyak 16 liter. Sistem brek cakera dengan ABS dua saluran yang boleh dinyah aktif.