Ketua Pengarah JPJ: “Jabatan tidak akan berkompromi….”

Beberapa media melaporkan ada enam kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman untuk bantu siasatan dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.

Selain anggota JPJ, turut direman ialah lima orang ejen. Permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak itu dibenarkan Majistret Norizan Riduan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Seramai 11 suspek akan direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, sumber mereka memaklumkan siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai berpakat mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik melibatkan 16 nombor pendaftaran kenderaan.

SEMENTARA ITU, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli menyatakan pihaknya akan beri kerjasama kepada SPRM.

Ini termasuk memberi sokongan penuh kepada tindakan tegas SPRM berhubung perkara tersebut dan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan menyeluruh berlandaskan undang-undang.

Beliau turut menyatakan:

“Kerjasama antara SPRM dan JPJ akan terus diperkukuh, khususnya dalam aspek perkongsian maklumat, pencegahan rasuah dan salah laku serta pemantapan integriti dan tadbir urus Jabatan.

“JPJ sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan SPRM dalam mengenal pasti sebarang kelemahan atau ruang yang boleh membuka peluang kepada penyelewengan dan penyalahgunaan sistem, seterusnya melaksanakan langkah penambahbaikan yang bersesuaian.

“JPJ menegaskan bahawa jabatan tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan, menyalahgunakan kuasa atau amanah yang diberikan untuk kepentingan peribadi.

“Tindakan tegas ini selaras dengan komitmen JPJ untuk memastikan tadbir urus penguatkuasaan yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

“Jabatan ini kekal komited untuk melaksanakan penguatkuasaan secara profesional demi keselamatan jalan raya dan kepentingan awam. Sebarang pelanggaran integriti akan ditangani secara tegas selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.”