
Jarang sekali mana-mana pengeluar motosikal mengizinkan ‘orang luar’ masuk ke ‘bilik rahsia’ mereka untuk melihat model baharu yang mereka sedang bangunkan.
Bukan hanya jenama Jepun tetapi begitu juga kebanyakan syarikat pembuat motosikal di China. Lain pula kisahnya di Guangzhou Haojin Motorcycle.

Sekumpulan media Malaysia dibenarkan masuk ke sebuah bilik rahsia yang menempatkan tujuh produk masa hadapan berjenama Haojin dan LETBE.
Boleh tengok, sentuh sikit-sikit, tanya apa nak tanya tapi tak boleh rakam gambar atau video. Kami hanya boleh ceritakan apa yang kami nampak dalam bilik tersebut.
Dalam bilik itu ada tujuh model sebenarnya iaitu supermoped auto klac 150cc Mforce, naked bike 250cc, sportbike 250cc, dua model dwi-kegunaan, dua skuter adventure iaitu berkapasiti 420cc dan 250cc.
Bukan semua model yang berada di bilik Unit Penyelidikan dan Pembangunan Haojin itu akan masuk Malaysia. Di sini, kami akan kongsikan apa yang sempat dikumpul dalam masa terbatas iaitu:
Naked Bike dan Sportbike
- Sportbike dapat fairing depan, panel lain sama macam model naked.
- Nama pada badan naked bike ialah Kairos manakala model sportbike tertera label Kairos-R. Dua model ini sudah siap dengan panel badan dan fairing berwarna.
- Enjin dua model ini sama jenis satu silinder 250cc 4-injap buatan Haojin dengan kaedah sejukan cecair dan suntikan bahan api. Kotak gear enam kelajuan manual.
- Lampu depan jenis projektor diposisikan di bahagian tengah dengan dua jalur lampu DRL memanjang naik ke kiri dan kanan.
- Ekzos diposisikan di bawah enjin. Ada kowl bawah enjin untuk model naked. Winglet depan disatukan dengan lampu signal belok.
- Tambahan lain ialah fork USD, monoshock boleh laras, meter digital, lampu LED penuh, tempat duduk jenis terpisah.
- Ada lampu posisi berbentuk V di pasang sisi tempat duduk pembonceng. Jika bergesel, patah itu pasti. Cadangan diberikan ialah gugurkan idea lampu tersebut.
- Rim aloi 17 inci guna tayar 110/70 depan dan 140/70 belakang.
- Berat naked bike 148kg, sporbike 150kg.
Dwi-Kegunaan
- Ada dua model dwi-kegunaan nampak seperti sudah siap sepenuhnya, satu berasaskan enjin 200cc dan satu lagi 250cc. Model 200cc itu dipercayai menggunakan enjin dan transmisi sama seperti WMOTO Hawk 200.
- Lampu depan dan lampu signal jentera 200cc itu berasaskan LED tetapi lampu brek menggunakan mentol halogen. Meter digital biasa latar pencahayaan biru.
- Model satu lagi berasakan enjin satu silinder 250cc DOHC dengan sistem sejukan cecair dan transmisi manual 6-kelajuan. Lampu LED penuh. Rim jejari 21 inci depan dan 18 inci belakang.
- Sistem brek depan dan belakang jenis cakera tunggal.
- Masih menggunakan anak kunci dan ada soket USB Type-A.
- Anggaran berat ialah 140kg.
Skuter Adventure 250cc dan 420cc
- Model 250cc dipanggil Leisure ADV 250 tetapi masih dalam peringkat clay model. Apa yang diketahui ialah enjinnya satu silinder dengan sistem sejukan cecair.
- Fork Leisure jenis terbalik (USD) dan menggunakan sistem kekunci pintar. Penghadang angin laras secara manual.
- Skuter 420cc ini pula nampak iras-iras macam sebuah model jenama Asia Timur yang semakin popular di beberapa negara termasuk Malaysia.
- Skuter 420cc ini belum ada nama. Model ini menggunakan enjin satu silinder, kotak gear CVT dan pacuan jenis rantai.
- Lampu depan jenis 4 projektor, ada kamera dashcam depan, meter TFT berwarna, menggunakan sistem kekunci pintar, fork USD dengan monoshock belakang dan sistem brek cakera.
- Tempat duduk ada perehat belakang, ada rak untuk pasang top box, ada bar rempuh, gard tangan dan penghadang angin pula tidak boleh laras.
Artikel Berkaitan:
- LETBE Flygon: Motosikal gaya scrambler ada potensi diperkenalkan di Malaysia
- LETBE Nomad 350: Skuter 350cc reka bentuk futuristik dengan elemen Cyberpunk
- LETBE Mecha: Skuter futuristik bakal diperkenalkan di Malaysia selepas Mforce MotoXperience 2026?
- LETBE NEON Q: Skuter 125cc ada TCS, ABS, Meter TFT Berwarna, Lampu LED bakal masuk Malaysia?
- Mforce bawa media Malaysia, KOL ke China untuk lihat perkembangan projek supermoped 150cc auto klac
- Mforce MotoXperience 2026: Lebih 100 model dipamerkan, 23 jenama hadir, lancar 15 model baharu
