
Haojin Lyra. Ini salah satu kapcai yang kami terserempak semasa menuju ke bilik rahsia Unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Haojin Motorcycle untuk melihat enam produk masa depan jenama LETBE.
Apa yang menarik perhatian kami dan beberapa media lain ialah kapcai 110cc ini dilengkapi pelbagai aksesori yang diperlukan untuk aktiviti kembara.

Apa yang kurang dan perlu ditambah hanyalah rak dan set kotak simpanan atas serta sisi. Atau mungkin sepasang lampu sorot (spotlight) untuk keperluan pencahayaan ekstra di kawasan gelap. Tidak lupa juga peranti navigasi untuk memudahkan lagi perjalanan.
Aksesori yang tersedia pasang pada motosikal ini ialah penghadang angin jenis tinggi, sepasang pelindung tangan (hand guard), pelindung cakera brek depan dan perehat belakang untuk pembonceng.
Berdasarkan sumber Haojin, model Lyra ditawarkan dengan empat pilihan kapasiti enjin iaitu serendah 50cc, 110cc, 125cc dan 130cc.
Model yang dirakamkan gambar ini ialah enjin satu silinder 110cc OHC dengan sistem karburator dan sejukan udara, menawarkan kuasa 5.2kW pada 7,500rpm dan tork 8.4Nm pada 5,500rpm.
Kotak gear 4-kelajuan dan saiz tangki minyak ialah 4.5 liter. Berat bersih motosikal cuma 105kg. Tinggi pelana 760mm. Rim aloi digunakan ialah 17 inci dengan tayar saiz 70/90 depan dan 80/90 di belakang.
Gambar Haojin Lyra 110



































