3 juruteknik BSH wakili Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Honda di Jakarta

Juruteknik sedang menduduki ujian praktikal Boon Siew Honda Technician Skill Contest TSC 2026

Pencarian juruteknik terbaik Honda sudah berakhir.

Ada tiga individu dinobatkan sebagai juruteknik terbaik Honda di Malaysia selepas saingan 16 finalis pusingan akhir Boon Siew Honda Technician Skill Contest (TSC) 2026 di Pulau Pinang.

Kumpulan 16 finalis ini dipilih daripada beratus-ratus juruteknik Honda di seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak dalam dua pusingan saringan pada Januari dan Mac 2026.

Sebelum bercerita tentang nama tiga finalis itu (ada di akhir artikel), mungkin lebih baik kita faham dulu apa sebenarnya pertandingan TSC ini.

Apa itu BSH TSC 2026?

Ini adalah pertandingan dwi-tahunan (dua tahun sekali) yang menguji skil teknikal juruteknik BSH dan diadakan diperingkat Kebangsaan.

Walaupun dalam negara, tetapi penilaian yang dibuat menggunakan standard antarabangsa Honda Asia dan Oceania.

Ada 2 kategori dipertandingkan iaitu Commuter (COM) dan Fun Sport (FUN). Berikut ialah model digunakan untuk penilaian setiap kategori:

  • COM: dua model iaitu Honda ADV160 dan Honda RSX150
  • FUN: Honda CB650R

Pertandingan edisi 2026 Kebangsaan ada dua pusingan iaitu Pusingan Pertama dan Pusingan Akhir.

  • Pusingan Pertama membabitkan dua saringan iaitu Teori (27 hingga 28 Januari 2026) dan Praktikal (3 hingga 5 Mac 2026)
  • Pusingan Akhir pada 1 Julai 2026 di Ibu Pejabat BSH di Pulau Pinang.

Apa cerita Pusingan Akhir  BSH TSC 2026?

Boon Siew Honda Technician Skill Contest (TSC) 2026

Pada pusingan akhir TSC BSH 2026, kumpulan peserta akhir diuji sekali lagi dan dinilai berasaskan standard dan piawaian antarabangsa Honda Asia dan Oceania.

Mereka perlu menjawab ujian teori 35 soalan merangkumi pengetahuan teknikal harian dan standard servis Honda.

Selepas itu, sesi praktikal membabitkan penilaian ke atas kenderaan merangkumi penyelenggaraan berjadual, baik pulih biasa dan stesen time attack serta ujian komponen luar kenderaan.

Tiga juruteknik terbaik dinobatkan juara kebangsaan dan akan diterbangkan ke Jakarta, Indonesia.

Ada apa di Jakarta?

Tiga juruteknik terhebat ini akan mewakili Malaysia ke Asean & Oceania (A&O) Technician Skill Contest 2026 di Jakarta, Indonesia pada November ini.

Pertandingan ini menghimpunkan juruteknik-juruteknik terbaik Honda dari seluruh rantau Asean dan Oceania dan mereka akan bersaing mengikut satu piawaian penilaian antarabangsa.

Siapa 3 juruteknik Honda ini?

Berikut ialah senarai juara Kebangsaan BSH TSC 2026 mengikut kategori:

  • Juara kategori COM 1 – Honda ADV160
    • Muhammad Al’Amin Yusri dari Wei Ling Motor Sdn. Bhd. (Zon Selatan)
  • Juara kategori COM 2 – Honda RSX150
    • Kwang Teck Hing dari Kuek Motor (M) Sdn. Bhd. (Zon Tengah)
  • Juara Kategori FUN – Honda CB650R
    • Aidil Adha Samsumar dari Honda Big Wing Johor Bahru (Zon Selatan)

Apa kata Orang Kuat BSH?

Boon Siew Honda Technician Skill Contest (TSC) 2026

Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata:

“Ketiga-tiga juruteknik ini bukannya berada di sini secara kebetulan. Mereka berjaya kerana memilih untuk menjadi yang terbaik dalam bidang yang amat penting iaitu memastikan setiap motosikal Honda berfungsi seperti yang sepatutnya.

Apabila mereka melangkah ke pentas pertandingan di Jakarta pada November nanti, mereka bukan sahaja membawa nama Boon Siew Honda malah turut membawa standard kecemerlangan yang wajar menjadi aspirasi setiap juruteknik Honda di Malaysia.”

Ini adalah kali keempat BSH hantar wakil bersaing di peringkat A&O. Dua daripadanya membuahkan hasil iaitu ada pemenang kategori FUN di Bangkok dan kategori COM naib johan di Manila.

Galeri Foto