Ada 3 varian ZXMOTO 820RR, mana satu akan masuk Malaysia?

Ramai peminat sudah tahu namanya. Dan jenama motosikal ZXMOTO itu akan masuk Malaysia dengan penampilan rasminya di MAEPS Serdang pada bulan Mei 2026.

Mungkin anda boleh dapat maklumat lebih awal.. terus dari Pulau Pinang sebelum debut rasmi ZXMOTO di Malaysia Bike Show 2026. Pihak yang bawa masuk ZXMOTO ini ialah Mforce Bike Holdings.

Khabarnya, ada tiga model ZXMOTO berada di Malaysia untuk tujuan ujian ketahanan di negara ini sebelum produk akhir dijual kepada pengguna.

Salah satu model yang dikhabarkan itu ialah superbike ZXMOTO 820RR. Varian mana satu akan dipamerkan di MAEPS? Adakah 820RR, RR-R atau RR-RS?

Apa Beza ZXMOTO 820RR, ZXMOTO 820RR-R dan ZXMOTO 820RR-RS?

ZXMOTO 820 datang dalam tiga varian seperti yang diumumkan semasa jenama ini diperkenalkan di China dan Eropah.

Tiga varian yang dilaporkan adalah seperti di bawah ini:

  • 820RR: model asas atau standard
  • 820RR-R: model pertengahan
  • 820RR-RS: model perdana atau tertinggi

Perbezaan setiap varian ini berkait dengan material komponen, jenama komponen dan aspek talaan. Ini ringkasan perbezaan yang diterima setakat ini:

ZXMOTO 820RR

Ini adalah varian asas dalam siri ZXMOTO 820. Superbike ini ada dipertontonkan dengan seragam putih di pameran CIMA China.

Spesifikasi menunjukkan jentera ini dilengkapi enjin tiga silinder 819cc yang menawarkan kuasa 133hp dengan daya tork 85Nm.

Varian ini turut dilengkapi Sistem Brek ABS Belokan (Cornering ABS), Sistem Kawalan Cengkaman Belokan (Cornering Traction Control) dan Kawalan Jelajah.

Sistem suspensi iaitu fork terbalik (USD) depan dan monoshock belakang datangnya dari pihak YUAN tetapi boleh dilaras sepenuhnya.

Sistem brek cakera tunggal berjenama Taisko digunakan untuk roda depan dan belakang. Cakera depan berukuran 320mm, kaliper radial 4-piston. Cakera belakang 220mm, kaliper 2-piston. Berat motosikal 191kg.

ZXMOTO 820RR-R

Varian ini ada dibawa ke Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2025, hadir dengan beberapa pembaharuan berbanding varian standard 820RR.

Antara komponen ditingkatkan ialah kaliper brek radial 4-piston berjenama Brembo. Ada instrumen meter android bersaiz 6.2 inci.

Berat 186kg dan ini dicapai dengan penggunaan komponen gentian karbon (carbon fiber), rim tempaan aluminium serta peredam ekzos titanium.

Fork depan KYB yang boleh dilaras sepenuhnya mendapat salutan DLC. Peningkatan perisian pada varian ini membantu peningkatan kuasanya kepada 143hp.

ZXMOTO 820RR-RS

Varian tertinggi dalam keluarganya, jentera 820RR-RS ini dilaporkan hadir dengan beberapa perubahan lebih serius.

Pertamanya, ada penukaran komponen enjin kepada berasaskan material titanium seperti injap dan rod penyambung (connecting rods). Output kuasa 148hp.

Jentera dengan pelana tunggal ini menggunakan ekzos titanium penuh jenama Akrapovic. Kaliper brek ditukar kepada Brembo GP4 dan suspensi datang daripada Ohlins.

Pembaharuan lain ialah penggunaan tangki minyak aluminium dan sub-bingkai magnesium. Semua ini menurunkan berat motosikal kepada 175kg.