Honda CB750 Hornet E-Clutch (2026) akan masuk pasaran Jepun pada pertengahan April 2026

Honda akan menawarkan varian Honda CB750 Hornet E-Clutch edisi 2026 untuk pasaran Jepun bermula pada 16 April 2026.

Menariknya, ini adalah motosikal pertama Honda yang dilengkapi sistem Honda E-Clutch dan throttle-by-wire (TBW). Model-model sebelum ini menggunakan pendikit minyak jenis kabel.

Selain itu, Honda CB750 Hornet E-Clutch (2026) akan didatangkan bersama kowl bawah enjin yang menjadikan imej motosikal ini lebih agresif.

Ada dua pilihan warna baharu disediakan untuk Honda CB750 Hornet E-Clutch (2026) iaitu Wolf Silver Metallic (perak) dan Graphite Black (hitam).

Honda Jepun mengumumkan harga badan yang disyorkan untuk Honda CB750 Hornet E-Clutch (2026) ialah sebanyak ¥1,149,500 (anggaran RM28,409).

Harga itu menyaksikan kenaikan ¥110,000 (anggaran RM2,718) berbanding harga model terdahulu (¥1,039,500 atau anggaran RM25,690).

Honda CB750 Hornet E-Clutch (2026) akan mula dijual di Jepun bermula 16 April 2026 dengan sasaran jualan 500 unit setahun.

Enjin digunakan jenis 2-silinder sebaris 754cc OHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik.

Kuasa yang dihasilkan ialah 91hp @ 9,500rpm. Tork puncak sebanyak 75Nm @ 7,250rpm. Sistem transmisi jenis 6-kelajuan.

Berat motosikal 196kg dan ketinggian pelana 795mm. Tangki minyak cuma 15 liter. Jarak lega bumi 140mm.