
Honda akan mempamerkan model konsep sportbike terbaharu mereka yang menggunakan teknologi E-Clutch menerusi pameran motosikal di tiga lokasi berasingan di Jepun tidak lama lagi.
Model itu dipanggil Honda CBR400R E-Clutch Concept dan tiga lokasi tersebut ialah di Osaka, Tokyo dan Nagoya.

Enjin dua silinder CBR400R ini ditambah sistem Honda E-Clutch untuk menyerlahkan lagi karakter motosikal sport jalanan serba boleh untuk kegunaan harian sekali gus menarik lebih ramai pengguna dari segmen sederhana sport khususnya di Jepun.
Sistem Honda E Clutch ini hanya memberi kelebihan kepada penunggang untuk tidak menggunakan klac tangan sepanjang tunggangan. Tapi gear perlu dimasukkan sendiri oleh penunggang. Bukan jenis gear automatik AMT atau CVT.
MODEL KONSEP HONDA CBR400R E-CLUTCH
- Rekaan motosikal menunjukkan kesinambungan warisan reka bentuk keluarga CBR dengan sebahagian keluk tajam diambil daripada model CBR1000RR.
- Enjin 4-lejang dua silinder sebaris 399cc DOHC 4-injap dengan sistem sejukan cecair dan pancitan bahan api.
- Frem berbentuk berlian dibentuk daripada penggunaan paip keluli berdiameter 35mm.
- Tempat duduk setinggi 785mm dan berat motosikal sekitar 190kg.
- Sistem bantuan tunggangan elektronik termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC).
- Meter jenis 5 inci TFT berwarna dengan integrasi Honda RoadSync.
- Banyak info belum dikongsi memandangkan ini masih berstatus model konsep.







