
Cyclone Malaysia memperkenalkan model cruiser terbaharu mereka, Cyclone RA600 semasa majlis Makan Malam MForce Lou Sang 2026 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Harga yang diumumkan untuk Cyclone RA600 ialah RM25,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Warna disediakan ada dua iaitu Strong Grey (kelabu) dan Prestige Black (hitam).
APA ANDA PERLU TAHU TENTANG CYCLONE RA600
- Sebenarnya, pengumuman mengenai rancangan menawarkan cruiser Cyclone RA600 ini ada dibuat di China tahun lalu, termasuk harga asasnya.

- Dan pelancaran di Malaysia pula menyaksikan MForce Bike Holdings (MForce) mengekalkan harga asal yang diumumkan iaitu RM25,888.
- Enjin yang digunakan mirip seperti model Cyclone RX600 yang sudah berada di pasaran Malaysia.
- Cyclone RA600 ialah motosikal cruiser pertama Cyclone di Malaysia dan produk ketiga selepas motosikal adventure touring Cyclone RX600 dan skuter RT2E.
PERINCIAN CYCLONE RA600
- Kuasa dibekalkan enjin dwi-silinder sebaris 550.4cc,8-injap DOHC ke roda belakang menggunakan tali sawat.
- Kepanasan enjin dikawal menggunakan kaedah sistem penyejukan cecair.
- Cyclone RA600 mampu menghasilkan kuasa setinggi 58.3hp (43.5kW) pada 8,500rpm dan daya tork 55Nm pada 6,500rpm.
- Saluran petrol ke kebuk pembakaran dibuat menerusi kaedah pancitan terus kawalan elektronik (EFI).
- Kotak gear menggunakan enam kelajuan dengan klac manual (klac tangan).
- Cyclone RA600 menggunakan fork konvensional di hadapan dan sistem monoshock di belakang.
- Sistem henti membabitkan cakera brek tunggal di kedua-dua roda, siap ada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
- Cyclone RA600 ada ciri Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh diaktifkan atau dipadamkan.
- Tayar CST yang dipasang pada Cyclone RA600 berukuran 130/90-16 (depan) dan 150/80-16 (belakang).
- Cyclone RA600 dipasang tangki minyak sebesar 14.5 liter.
- Tempat duduk jenis berkembar untuk penunggang dan pembonceng berasa lebih selesa.
- Cyclone RA600 didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun tanpa had perbatuan.
- Dimensi motosikal Cyclone RA600 ialah 2,190mm panjang, 855mm lebar dan 1,115mm
tinggi. - Jarak roda 1,510mm, tempat duduk setinggi 725mm dan jarak bumi cuma 150mm.
- Cyclone RA600 memiliki berat 198kg iaitu dua kilogram lebih ringan daripada RX600.
- Cruiser ini dipasang meter instrumen jenis TFT (paparan digital) dengan sambungan Bluetooth.
- Ini membolehkan disambung dengan Carbit Ride yang membolehkan penggunaan navigasi dan paparan notifikasi lain pada meter Cyclone RA600.
- Sistem pencahayaan jenis LED penuh siap dilengkapi lampu siang (DRL).
- Tambahan lain ialah adanya TMPS dan soket pengecasan USB Type-A, ada suis keselamatan tongkat sisi dan penyandar tempat duduk belakang.
- Sistem ekzos jenis berkembar.










































