Mforce serah 3 model motosikal berkuasa tinggi untuk diuji JSPT PDRM

Mforce Bike Holdings (Mforce) menyerahkan enam unit motosikal daripada tiga jenama kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Serahan model multi-jenama itu adalah untuk tujuan penilaian program Proof of Concept (PoC) pihak JSPT dan tempoh pinjaman adalah selama tiga bulan.

Jumlah keseluruhan bilangan motosikal ialah 16 unit dengan enam diserahkan terlebih dahulu. Jenama yang terlibat dalam PoC kali ini adalah seperti berikut:

Penyerahan dibuat menerusi satu majlis khas di ibu pejabat Mforce di Pulau Pinang kepada Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali.

Hadir sama ialah barisan pengurusan atasan dan wakil-wakil daripada JSPT dan Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) PDRM.

Program PoC akan memberi peluang kepada JSPT untuk menguji dan menilai kesesuaian ketiga-tiga model berdasarkan keperluan penugasan pihak polis.

Maklum balas sepanjang tempoh penilaian akan menjadi asas kepada proses penambahbaikan sebelum langkah seterusnya dipertimbangkan.

Melalui program ini, Mforce berpeluang memahami dengan lebih dekat keperluan anggota yang menggunakan motosikal dalam menjalankan tugas.

Penilaian boleh merangkumi aspek pengendalian, keselesaan tunggangan, fungsi kelengkapan serta kesesuaian motosikal dengan tuntutan operasi harian.

Bagi Mforce, pelaksanaan PoC ini merupakan langkah penting dalam membangunkan penyelesaian mobiliti yang bersesuaian dengan keperluan agensi penguatkuasaan.

Hasil penilaian sepanjang tiga bulan tersebut akan menjadi rujukan bersama dalam menentukan hala tuju dan tindakan susulan bagi projek ini.