MV Agusta tayang enjin 5-silinder bentuk ‘U’, berat bawah 60kg, kuasa lebih 240hp & tork 135Nm

MV Agusta menarik minat ramai pihak apabila mereka mempertontonkan sebuah platform enjin 5-silinder (Cinque Cilindri) di Pameran Motor Milan (EICMA) 2025.

Firma Itali itu menyatakan enjin itu masih berada di peringkat pembangunan di pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka di Schiranna.

Enjin itu dibangunkan untuk memperhalusi jangkaan untuk kegunaan pelbagai segmen motosikal iaitu daripada supersport kepada naked bike dan juga touring.

Platform enjin yang dipamerkan itu berbentuk ‘petak’ (segi empat) dengan kapasiti modular daripada 850cc kepada 1,150cc.

Enjin lima silinder ini boleh menghasilkan lebih 240hp pada paras 16,000rpm ke atas dan sehingga 135Nm pada 8,500rpm.

Berat enjin pula dikatakan bawah 60kg. Saiznya lebih kompak daripada enjin 4-silinder sebaris dan lebih pendek berbanding enjin V4.

Lima silinder pada enjin ini disusun dengan 3 silinder di hadapan dan 2 silinder di belakang. Bentuk seperti huruf ‘U’.

Sistem pengurusan haba enjin membabitkan penggunaan pam air elektrik dan pam minyak elektrik.