#EICMA2025: Moto Morini kembalikan nama Kanguro, lancar 2 model siri Kanguro 300 di Itali

Moto Morini menghidupkan satu nama legenda mereka iaitu Kanguro dan mempersembahkan dua versi model Kanguro 300 di pentas Pameran Motor Milan (EICMA) 2025 di kota Milan, Itali.

Kanguro 300 ialah jentera kompak ringan dwi-kembara (dual adventure) yang direka untuk kegunaan di jalan berturap dan off-road.

Nama Kanguro pernah wujud dalam rangkaian produk Moto Morini seawal tahun 1980-an. Model dimaksudkan ini ialah Moto Morini 350 X 3 Kanguro (gambar bawah), sebuah jentera 4-lejang enjin V2 yang dihasilkan antara 1983 hingga 1990.

Moto Morini Kanguro 300 (2026) yang dipersembahkan di EICMA baru-baru ini adalah produk rekaan Moto Morini Style Center di Itali dan mentafsir semula garisan ikonik pada Kanguro original.

DUA VARIAN MOTO MORINI KANGURO 300

Moto Morini Kanguro 300 baharu didatangkan dengan dua versi berikut, setiap satu memberi interpretasi mengenai keseronokan jelajah kembara dalam cara berbeza. Ini dua varian Kanguro 300:

  • Kanguro 300 – sesuai untuk kegunaan harian dan cara menikmati pengembaraan dua roda dengan cara menyeronokkan.
  • Kanguro 300 Rally – lebih menonjol dengan madgad rendah, penghadang angin kecil dan sesuai untuk penunggang yang ingin menguji kemampuan diri mereka sendiri.

Walaupun dua varian tetapi kedua-duanya berkongsi komponen asas dan teknikal sama. Dua model ini akan mula ditawarkan ke pasaran bermula pertengahan tahun 2026.

APA ADA PADA MOTO MORINI KANGURO 300

  • Reka bentuk lampu utama disifatkan memiliki simetri sempurna dan digabungkan dengan lampu nyalaan siang (DRL).
  • Enjin 4-lejang silinder tunggal berkapasiti 300cc DOHC 4-injap dengan sistem penyejukan cecair dan menggunakan sistem suntikan bahan api.
  • Gerek x lejang: 78mm x 61.2mm
  • Nisbah mampatan: 11.5:1
  • Kuasa maksimum: 25kw (34hp) @ 9,000rpm
  • Tork puncak: 27Nm @ 8,500rpm
  • Frem keluli. Frem belakang dan swingarm diperbuat dari aloi aluminium
  • Brek depan cakera tunggal 260mm, kaliper 2-piston
  • Brek belakang cakera tunggal 240mm, kaliper 1-piston
  • Ada Sistem Brek Antikunci (ABS) 2-saluran dan boleh dipadamkan dalam mod off-road
  • Fork depan jenis terbalik (USD) 41mm dengan jarak travel 250mm
  • Absober monoshock belakang dengan pro-link, jarak travel 250mm.
  • Tayar depan: 80/100. Rim aloi 1.85 inci x 21 inci
  • Tayar belakang: 120/80. Rim aloi 2.5 inci x 18 inci
  • Panjang 2,250mm
  • Lebar 895mm
  • Tinggi 1,450mm
  • Jarak roda 1,470mm
  • Berat kering 145kg (Rally: 153kg)
  • Tinggi tempat duduk: 880mm
  • Tangki minyak 12 liter
  • Jarak lega bumi 280mm