Kapcai retro-moden Kamak Super Pro 125 ada di Malaysia, harganya RM8,888

Mungkin ada lagi peminat motosikal yang tak perasan… ada kapcai gaya klasik sedang dijual di Malaysia iaitu Kamax Super Pro 125.

Motosikal gaya klasik dengan beberapa ciri moden ini diperkenalkan sejak 10 Oktober 2024 untuk pengguna Malaysia dengan harga badan RM8,888 – tak masuk insurans dan pendaftaran.

Kamax Super Pro 125 ada kelebihan di Malaysia disebabkan ciri-ciri menarik dan harga mampu milik. Pasti akan ada yang merasakan macam pernah lihat motor Super Cub macam ini.

Betul…Boon Siew Honda pernah lancarkan model Honda Super Cub 125 di Malaysia sekitar Januari 2019 tapi harganya terlalu mahal pada ketika itu iaitu mula dari RM13,999! Itu belum kira insurans, pendaftaran dan untung tambahan taukey kedai.

Sudah semestinua ini jadi satu batu penghalang untuk peminat mendapatkan motosikal Super Cub dan agak mengecewakan harapan rakyat marhaen – lagi-lagi mereka yang ingin menggapai semula memori lama.

Tapi batu penghalang itu boleh ditolak ke tepi dengan adanya Kamax Super Pro 125. Lagi bagus sebab kapcai klasik ini ada tempat duduk untuk pembonceng, tak macam jenama Jepun satu lagi.

Kamax Super Pro 125 ini diedarkan pihak KTNS Holdings Sdn. Bhd. (KTNS Malaysia) dengan tiga warna menarik – hijau (Army Green), hitam (Matte Black) dan hijau edisi khas (special edition Green).

Ada beberapa benda ciri moden digunakan Kamax Super Pro 125 seperti meter LCD dengan petunjuk jenis digital, sistem kunci pintar (tak perlu anak kunci), lampu LED depan-belakang walaupun gaya retro dan ada kotak simpan kecil di sebelah tepi motosikal.

Kapcai retro itu juga ada brek ABS dan menggunakan teknologi penyampaian bahan api secara pancitan (FI). Bukan karburator atau brek drum seperti motosokal zaman dulu-dulu.

DATA PERINCIAN (SPESIFIKASI) KAMAK SUPER PRO 125

Enjin: satu silinder, 4 strok, penyejukan udara (air- cooled), sistem FI
Kapasiti: 125cc
Gerek x lejang: 52.4 x 57.8mm
Kuasa maksimum: 6.3kW @ 7,500rpm
Tork maksimum: 9.3Nm @ 5,000rpm
Pencucuhan: EFI
Nisbah mampatan: 9.56: 1
Penghidup enjin: butang elektrik
Panjang: 1,915mm
Lebar: 720mm
Tinggi: 1,010mm
Jarak antara roda: 1,245mm
Tinggi tempat duduk: 760mm
Jarak dari bumi: 125mm
Berat motosikal: 110kg
Brek depan: cakera 220mm dengan ABS
Brek belakang: drum
Tayar depan-belakang: 80/90 – 17
Fork depan: teleskopik 26mm
Absober belakang: jenis berkembar