SYM ADXTG400 lancar Q2 ini dengan harga bawah RM31,000, bakal kejutkan segmen skuter adventure Malaysia

Ramai orang bertanya, bila skuter adventure SYM ADXTG400 (SYM ADX400) akan datang ke Malaysia?

Jawapannya ialah SYM ADXTG400 akan masuk ke pasaran Malaysia sebelum berakhir bulan Jun 2025 (Q2 – suku kedua).

Informasi lebih menarik yang diterima ialah skuter SYM ADXTG400 akan ditawarkan dengan harga jualan bawah RM31,000! Jauh lebih murah dari harga laporan awal iaitu RM35,000.

Ini pastinya satu berita baik yang ditunggu-tunggu golongan pencari skuter adventure sebab sekarang akan ada satu pilihan baru yang lebih menarik.

Apabila SYM ADXTG400 tiba, skuter jenama Taiwan ini akan bersaing secara langsung dengan dua lagi skuter adventure di Malaysia – Honda ADV350 dan Zontes 368G.

Jadi apa yang menarik tentang SYM ADXTG400 sampai ramai bertanya bila MForce Bike Holdings (MForce) nak bawa masuk skuter ini untuk rakyat Malaysia? Mari kita lihat ciri-cirinya dulu.

Skuter SYM ADXTG400 mempunyai bentuk rekaan yang benar-benar berjiwa skuter adventure dan jelas terpapar dari arah depan sehingga ke ekor belakang.

Rekabentuk skuter ini mengambil inspirasi Smilodon iaitu haiwan prasejarah berkaki empat terbesar dalam keluarga kucing predator saber-tooth.

SYM ADXTG400 nampak agresif dari arah depan disebabkan jurureka SYM mencorak muka harimau untuk wajah depan SYM ADXTG400. Ini jelas pada lampu LED depan terutamanya lampu DRL LED yang dibentuk macam taring.

Konsep lampu ‘bertaring’ ini ada juga dibuat di belakang dengan gaya lampu brek LED belakang menggunakan huruf M. Lampu signal dipisahkan dan berada bawah sedikit dari lampu brek.

Bukannya satu skuter bandar yang dijulang-julang sebagai skuter adventure macam Aveta Vanguard 250. SYM memang betul-betul bergaya skuter adventure sejati.

Satu lagi benda yang amat penting ialah agihan berat SYM ADXTG400 adalah 50:50 dan bukan depan berat, belakang ringan macam skuter lain. Apa pentinynya nisbah agihan berat ini ialah:

Nisbah berat 50:50 ini membolehkan penunggang dapat pengendalian terbaik semasa menunggang.

Tayar depan dan belakang mendapat cengkaman paling optimal dalam semua keadaan tunggangan.

Agihan berat seimbang memberi peralihan lebih lancar semasa membelok, memecut dan membrek. Ini memang satu bonus untuk penunggang semasa menunggang di selekoh tajam atau mengubah laluan tunggangan secara mengejut.

Agihan berat seimbang 50:50 juga membantu mengurangkan rasa penat atau lenguh penunggang.

Cara imbangan dibantu dengan meletakkan enjin, tangki minyak dan bateri di bahagian tengah casis dan ini membantu mengurangkan titik pusat graviti skuter SYM ADXTG400.

Imbangan berat ideal ini mengurangkan tekanan pada lengan atau badan penunggang serta tak perlu perah kudrat lebih semasa menunggang.

Casis ADXTG400 dikatakan sama macam skuter MAXSYM TL yang memberikan ketahanan maksimum untuk digunakan di kawasan bandar dan off-road.

Bukan itu saja, SYM ADXTG400 juga menggunakan falsafah sistem suspensi multilink macam MAXSYM TL untuk keselesaan dan kendalian lebih sporty.

Swingarm SYM ADXTG400 jenis aluminium dan terpisah dari sambungan enjin kerana menggunakan pacuan rantai (bukan tali sawat). Tapi swingarm SYM ADXTG400 ialah 20% lebih panjang dari swingarm MAXSYM TL. Berat swingarm masih 7kg.

Suspensi belakang SYM ADXTG400 jenis multilink macam sportbike dan ini membantu menyerap kesan hentakan dengan baik. Ini mengurangkan impak lantunan berbanding skuter adventure lain.

Skuter ini menggunakan sisten ABS Bosch 10.3MB dengan mode Off-Road dan kalau diaktifkan, brek ABS belakang akan dipadamkan tapi brek ABS depan akan kurang mengganggu kawalan brek depan.

Ada juga ciri kawalan cengkaman (TCS) dan boleh dipadamkan untuk membolehkan penunggang menikmati tunggangan off-road terbaik.

DATA PERINCIAN (SPESIFIKASI)

  • Enjin: satu silinder penyejukan cecair 399cc SOHC 4 injap dengan teknologi Pengubah Pemasaan (Hyper-VVS)
  • Penyampaian petrol: EFI KEIHIN
  • Pemula enjin: penghidup elektrik
  • Kuasa: 34.5hp @ 7,000rpm
  • Tork: 37.2 Nm @ 5,500rpm
  • Tangki minyak: 13L
  • Panjang x lebar x tinggi: 2166 x 920 x 1416 mm
  • Tinggi tempat duduk: 790mm
  • Jarak dari bumi: 160mm
  • Berat kasar: 213kg (agihan 50:50)
  • Brek depan: cakera 275mm 4 piston kaliper radial
  • Brek belakang: cakera 233mm dua piston kaliper
  • ABS:  BOSCH 10.3MB dua saluran
  • Fork: jenis USD 41mm dengan jarak travel 140mm
  • Swingarm: multilink gas-minyak absober tunggal
  • Rim depan: 15 inci dan tayar 120 / 70
  • Rim belakang: 14 inci dan tayar 150 / 70