Honda Wave Alpha (2025) muncul dengan 4 warna baru, harga dari RM5,259

Boon Siew Honda mengumumkan kapcai Honda Wave Alpha (2025) kini disediakan dengan empat warna pilihan iaitu Silver (perak), Blue (biru), Red (merah) dan Black (hitam).

Motosikal Honda Wave Alpha tahun 2025 akan berada di semua kedai IMPIAN X dan pengedar sah Honda di seluruh negara bermula hari ini (6 Januari 2025)

Harga yang dicadangkan tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran ialah

  • RM5,309 – Silver, Blue, Red
  • RM5,259 – Black

Honda Wave Alpha (2025) dikuasakan enjin 4 strok satu silinder 109.2cc SOHC 2 injap memberi kuasa 6.5kW (8.72hp) @ 7,500rpm dan tork maksimum 8.7Nm @ 5,500rpm.

Kotak gear masih sama 4 kelajuan. Petrol ke dalam blok silinder dibantu sistem pancitan bahan api (PGM-FI) dan suhu panas dikawal cara penyejukan udara (air cooled).

Tangki minyak 4.1 liter dan ruang simpan barang 7.3 liter. Enjin boleh dihidupkan dengan butang starter atau guna penghidup tendang (kick start).

Tempat duduk dengan ketinggian 768mm adalah lebih lebar berbanding model lain di pasaran, demi memastikan penunggang selesa.

Berat Honda Wave Alpha (2025) hanya 98kg dan jarak dari tanah ialah 138mm. Dimensi (P x L x T): 1,935mm x 709 mm x 1,090mm. Jarak antara roda depan dan belakang ialah 1,227mm.

Sistem suspensi Honda Wave Alpha membabitkan fork teleskopik biasa dan absober berkembar di belakang.

Rim digunakan 17 inci dengan tayar tanpa tiub (tubeless) saiz 70/90 (depan) dan 80/90 (belakang). Brek depan jenis cakera tunggal dan brek dram untuk belakang.

Boon Siew Honda menawarkan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer (mana satu tiba dulu).