Ada pengedar sudah membuka tempahan untuk model ZEEHO AE8 S+ dan ini menandakan skuter elektrik bawah CFMOTO Malaysia akan lancar dalam masa terdekat.
ZEEHO AE8 S+ ialah model terbaru yang akan dijual Malaysia tapi berapalah harga skuter elektrik premium berjenama China ini?
AE8 S+ tak nampak macam skuter elektrik dengan bentuk badan mengikut trend bentuk robot Jepun dan sudah tentu ini akan tarik perhatian ramai bakal pembeli dari generasi Z atau peminat anime.
Skuter ZEEHO nampak amat menarik dan salah satu sebabnya ialah sentuhan daripada syarikat pereka bentuk dari Eropah – KISKA. Kalau tengok dari depan, mungkin ada yang ingat ini skuter petrol.
ZEEHO AE8 S+ ialah varian tertinggi dalam skuter kategori AE iaitu di atas AE2, AE4 dan AE6. Di Malaysia, CFMOTO ada menjual AE4 selepas pelancaran di Semenyih (Selangor) pada September 2024.
Cara skuter ini bergerak sama macam model lain – bateri bawah tempat duduk akan salur kuasa ke motor elektrik yang memusingkan roda belakang dengan tali sawat (belting).
Motor elektrik ini bukannya dipasang menjadi sebahagian hab rim belakang. Motor ini diletak dekat bawah tempat penunggang duduk.
Tempat untuk cas bateri ada disediakan di bawah dekat dengan lantai pemijak kaki. Bateri (dua pek) litium-ion 69V 27Ah diletak bawah tempat duduk. Sekali cas penuh boleh jalan dalam 100 kilometer.
Motor elektrik ZEEHO AE8 S+ boleh hasilkan kuasa maksimum 12.5kW (atau 16.8hp) dengan tork maksimum 218Nm. Skuter elektrik memang terkenal dengan kuasa pikap.
Sebab itu ZEEHO dalam laman web mereka ada cerita AE8 S+ ini setanding skuter petrol 150cc tapi pecutan macam skuter 250cc.
Belum ada maklumat berapa cepat masa diperlukan untuk capai 100km/j tapi untuk cecah 50km/m, masanya dalam 2.6 saat.
ZEEHO AE8 S+ disediakan tiga pilihan mode untuk penunggang – ECO, Street dan Sport. Skuter ini guna kad NFC untuk diaktifkan dan meter jenis LCD 5 inci.
Lampu skuter AE8 S+ ini semuanya LED, ada port USB Type-A dan Type-C, angkup brek Brembo dengan ABS dan rim aloi 12 inci dengan tayar CST.








