Aprilia 457 (2024): Sportbike jenama Itali, buatan India, harga Malaysia

Aprilia RS 457 ialah sportbike kategori separuh liter yang dilancarkan ke Malaysia pada 30 Oktober 2024 dengan 3 warna untuk dipilih – Prismatic Dark (kelabu), Opalescent Light (putih) dan Racing Stripes (hitam).

Sportbike itu dijual dengan dua harga jualan asas iaitu RM33,900 untuk Prismatic Dark  dan Opalescent Light. Harga Aprilia RS 457 warna Racing Stripes ialah RM35,900.

Perbezaan harga RM2,000 ini hanya melibatkan warna dan grafik pelekat. Itu sahaja dan semua komponen motosikal digunakan adalah sama.

Aprilia RS 457 dibawa dari India dan bukan model yang dipasang (CKD) di Malaysia. Kalau pengedar Aprilia di Malaysia (Digi Group) jalankan projek CKD motosikal, harga Aprilia RS 457 mungkin boleh diturunkan lagi.

Sportbike jenama Itali ini menggunakan enjin 4 strok dua silinder selari 457cc DOHC dengan setiap silinder ada 4 injap dan sistem pancitan bahan api (FI). Aprilia menggunakan kaedah penyejukan cecair untuk kawal suhu enjin.

Enjin ini menghasilkan kuasa 47.6hp @ 9,400rpm dan tork maksimum 43.5Nm @ 6,700rpm. Kotak gear jenis 6 kelajuan klac manual beserta ciri klac slipper.

Motosikal standard tidak didatangkan dengan Quickshifter tetapi pembeli boleh membuat bayaran tambahan untuk mendapatkannya dari Aprilia Malaysia.

Aprilia 457 ada tiga mode pemetaan enjin iaitu Eco, Rain dan Sport. Selain itu, motosikal ini ada sistem Traction Control (TCS).

Sportbike ini menggunakan skrin meter digital TFT bersaiz 5 inci. Lampu digunakan adalah LED penuh.

Brek depan jenis cakera 320mm dengan angkup brek (caliper) 4 piston dan di belakang, brek cakera 220mm bersama angkup brek satu piston. Caliper brek berjenama ByBre.

Fork Aprilia 457 jenis USD 41mm dengan sistem monoshock yang boleh laras prabeban. Saiz rim aloi 17 inci dengan tayar motosikal 110/70 (roda depan) dan 150/60 (roda belakang).

Tangki minyak Aprilia 457 berkapasiti 13 liter dan tinggi tempat duduk ialah 800mm. Berat sportbike hanya 175kg.