Moto Morini sudah menampilkan model terbaru mereka di pameran EICMA 2024 iaitu Moto Morini X-Cape 1200 sebuah motosikal versi adventure penuh yang akan berada di pasaran pada pertengahan tahun 2025.
Morini X-Cape 1200 adalah motosikal adventure kedua keluaran syarikat itu selepas model X-Cape 650. Model Moto Morini X-Cape 650 juga dijual di Malaysia semenjak tahun 2022.
X-Cape 1200 akan didatangkan dengan tiga warna untuk dipilih: Energy Red (merah), Viper Black (hitam) dan Arctic White (putih). Spesifikasi penuh Moto Morini X-Cape 1200 (2025) ada di penghujung artikel.
Model ini dikategori sebagai motosikal adventure touring (kembara) dan dikuasakan enjin V2 Corsa Corta EVO dengan kuasa 125hp dan tawaran daya tork yang bertenaga untuk prestasi lebih lancar semasa rev renjin endah.
Enjin Moto Morini X-Cape 1200 ditala untuk kuasa dan kawalan yang dibantu dengan teknologi moden dan juga komponen berkelas tinggi. Tujuannya satu – untuk meningkatkan lagi ciri keselamatan dan memastikan keseronokan semasa menunggang.
Motosikal ini memiliki sifat versatil dan mudah digunakan sama ada menyusuri kawasan jalan bandar, melayari lebuh raya panjang, laluan berbukit dan bergunung hingga ke trail off-road.
Moto Morini X-Cape 1200 direka dan dibangunkan di Itali dan berjaya memenuhi syarat piawaian ketat emisi Euro5+.
Bagi memastikan penunggang mendapat pengalaman terbaik, Moto Morini X-Cape 1200 dilengkapi beberapa ciri moden yang relevan untuk motosikal moden zaman ini. Ini membabitkan:
- Ada Kawalan Jelajah (cruise control)
- Bantuan tukar gear (shift assistance)
- Tiga peringkat Kawalan Cengkaman (traction control) dan boleh dipadamkan sepenuhnya.
- Radar titik buta arah belakang (rear blind spot radar)
- Lampu pembelokan (cornering lights)
Lampu pembelokan melibatkan dua lampu tambahan LED yang akan aktif dengan suluhan cahaya dua sudut miring (lean angle) dan ini membantu mengelakkan bahaya di kawasan bercahaya rendah.
Moto Morini X-Cape 1200 juga ada kamera bawah lampu depan motosikal dan penunggang boleh rekod perjalanan mereka.
Untuk enjin, Moto Morini menyediakan tiga pilihan mode pemetaan enjin yang akan mengubah kuasa enjin mengikut selera penunggang.
Bukan itu saja, penunggang boleh ubah tinggi rendah penghadang angin (windshield) dan ditambah gard tangan untuk perlindungan semasa menunggang.
Bentuk panel badan dan motosikal direka untuk menyalur keluar haba panas enjin demi keselesaan penunggang dan pembonceng.
Sekiranya cuaca sejuk, penunggang boleh menggunakan pemanas tempat duduk dan pemanas grip tangan untuk kekal selesa sepanjang tunggangan.
Penumpang atau pembonceng motosikal ini juga mendapat manfaat selepas pereka Moto Morini memberi fokus kepada segitiga kedudukan tempat duduk dan bar pemegang yang disatukan dengan rak plet belakang.
Frem motosikal ini melindungi enjin transverse X-Cape 1200 dan swing arm (lengan ayun) sepanjang 630mm membantu motosikal mendapat daya cengkaman cemerlang untuk kawalan tunggangan terbaik.
Rim motosikal ini jenis multispokes dan menggunakan tayar jenama Pirelli Scorpion Trail 3. Motosikal ini ada sensor di tayar untuk menunjukkan bacaan semasa tekanan angin dalam tayar pada meter motor.
Moto Morini X-Cape ada tongkat tengah untuk membolehkan motosikal diletakkan dalam keadaan stabil semasa parkir.
Ada sistem brek ABS Bosch Cornering dan ciri ini boleh dipadamkan menerusi opsyen yang disediakan Moto Morini.
Skrin meter digital TFT sebesar 7 inci ada dilengkapkan sistem navigasi dan ada juga soket port USB disediakan pada motosikal X-Cape 1200.
CIRI TEKNIKAL (SPESIFIKASI)
- Enjin 4 strok V2 (dua silinder) 87° kapasiti 1187cc DOHC 8 injap dengan sistem pancitan petrol Magneti Marelli dan sistem penyejukan cecair.
- Tork maksimum 105Nm (10.7kgm) @ 7,000rpm
- Kuasa maksimum 92kW (125hp) @ 9,000rpm
- Kelajuan maksimum lebih 230km/j
- Panjang x lebar x tinggi: 2,310mm x 1,020mm x 1,490mm
- Jarak roda 1,545mm
- Jarak lega bumi 190mm
- Berat kasar 245kg
- Tinggi tempat duduk 860mm
- Tangki minyak 23 liter
- Frem campuran aluminium dan keluli
- Swingarm aluminum
- Brek depan cakera kembar 320mm dengan angkup brek monoblock Brembo
- Brek belakang cakera tunggal 280 mm dengan angkup brek kekal (fixed caliper)
- Ada teknologi sistem brek ABS Bosch Cornering
- Fork depan teleskopik USD (inverted fork) boleh laras dengan travel 180mm
- Monoshock belakang dengan travel 180mm
- Rim depan 19 inci (3.5×19”) tanpa tiub (tubeless)
- Rim belakang 17 inci (5.0”x17) tanpa tiub
- Tayar depan 120/70-R19 Pirelli Scorpion Trail 3
- Tayar belakang 170/60-R17 Pirelli Scorpion Trail 3










