Untuk pasaran Jepun, Yamaha TMAX 560 2024 dan Yamaha TMAX 560 Tech Max 2024 kini diperkenalkan dengan pilihan warna baharu. Untuk varian standard TMAX, warna baharunya ialah Matte Black, bersama-sama rim roda berwarna biru yang kelihatan begitu sporty.
Sementara itu untuk varian TMAX 560 Tech Max yang lebih premium, warna baharunya ialah Matte Dark Reddish Gray. Pada masa yang sama, satu lagi pilihan warna masih ditawarkan untuk varian tersebut iaitu Matte Dark Gray, yang dibawakan daripada model tahun 2023.
Berbanding varian TMAX, TMAX 560 Tech Max mempunyai beberapa ciri premium seperti cruise control, skrin elektrik, pemanas cengkaman, pemanas tempat duduk utama, suspensi belakang boleh laras, dan suis handlebar bercahaya yang menyokong penglihatan di waktu malam.
Yamaha TMAX 560 2024 dan Yamaha TMAX 560 Tech Max 2024 dilengkapi enjin 562cc (liquid-cooled, parallel twin-cylinder, 4-valves, DOHC) dengan sistem transmisi CVT. Kuasa maksimum yang dihasilkan enjin itu mencapai paras 48PS @ 7,500rpm dengan tork 56Nm @ 5,250rpm.
Pelbagai ciri-ciri menarik lainnya termasuklah Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) dengan Accelerator Position Sensor Grip (APSG), Traction Control System (TCS), D-MODE untuk pilihan dua mod tunggangan (Sport & Touring), sistem operasi keyless dengan smart key, panel TFT berwarna bersaiz 7.0 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar, dan sistem lampu LED.
Selain itu, Yamaha TMAX 560 2024 dan Yamaha TMAX 560 Tech Max 2024 juga dilengkapi fork depan upside-down 41 mm, suspensi belakang monoshock jenis link-type, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS, dan ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk. Tinggi tempat duduk berada pada paras 800 mm, manakala tangki bahan api berkapasiti 15 liter.
Roda depan dan belakangnya masing-masing bersaiz 120/70-R15 dan 160/60-R15. Untuk pasaran Jepun, harga yang ditawarkan untuk Yamaha TMAX 560 2024 ialah 1,408,000 Yen (RM 42,222.61), dan 1,600,500 Yen (RM 47,995.23) untuk Yamaha TMAX 560 Tech Max 2024.
Artikel berkaitan :
Galeri : Yamaha TMAX 560 2024 (Japan)
Galeri : Yamaha TMAX 560 Tech Max 2024 (Japan)