Di pasaran Indonesia, Yamaha FreeGo 125 versi facelift terbaharu telah pun diperkenalkan pada tahun 2022 yang lalu. Kini untuk tahun 2024, model skuter tersebut telah menerima kemaskini warna baharu. Bagi varian Standard, empat pilihan warnanya ialah Blue, Red, Sand dan Black. Sementara bagi varian Connected pula, dua pilihan warnanya ialah Magma Black dan Silver.
Yamaha FreeGo 125 2024 masih mengekalkan spesifikasi dan ciri-ciri sebelumnya. Antaranya ialah enjin 125cc (air-cooled, SOHC) Blue Core dengan Smart Motor Generator (SMG) yang menjana 9.38hp dan tork 9.5Nm, tangki bahan api 4.2 liter, tinggi pelana 780 mm, sistem brek cakera di bahagian depan, dan tayar depan dan belakang berukuran 100/90-12 dan 110/90-12.
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti lampu depan LED yang sporty, sistem lampu hazard, tudung pengisian petrol di bahagian depan yang mudah, ruang simpanan seluas 25 liter di bawah tempat duduk, dan soket elektrik untuk mengecas. Bagi varian Connected, kelebihan yang ditawarkan ialah Smart Key, sistem Yamaha Motorcycle Connected, dan sistem Stop & Start.
Untuk pasaran Indonesia, Yamaha FreeGo 125 2024 bagi varian Standard ditawarkan dengan harga Rp. 21,700,000.00, bersamaan RM 6,379.01. Bagi varian Connected pula, harganya ialah sebanyak Rp. 23,500,000.00, bersamaan RM 6,908.15. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini tiada maklumat sama ada model ini akan turut dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor.