QJ Motor Fort 350 bakal dilancarkan di Malaysia Autoshow 2024

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. bakal melancarkan barisan model-model terbaharu edarannya tidak lama lagi, bertempat di Malaysia Autoshow 2024 (22 – 26 Mei). Salah satunya ialah model skuter terbaharu QJ Motor Fort 350 2024, dengan harganya yang dikatakan di bawah RM 23k.

Sementara menantikan pelancaran rasminya, kita lihat dahulu spesifikasi dan ciri-ciri pada model berkenaan. Enjinnya bersesaran 350cc (SOHC, 4-valve, liquid-cooled) dengan padanan sistem transmisi CVT. Prestasinya 33.78hp (25.2kW) @ 7,500rpm dengan tork 35.2Nm @ 6,000rpm.

Untuk perjalanan lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 14 liter. Spesifikasi lain seperti fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar, brek cakera depan berkembar, saiz roda 120/70-R15 (depan) dan 150/70-R14 (belakang), dan ketinggian tempat duduk 775 mm.

QJ Motor Fort 350 seterusnya dilengkapi skrin penghadang angin boleh laras elektrik, ABS Dual Channel, sistem penghidup keyless dengan kad tanpa wayar yang menggunakan teknologi NFC, sistem lampu LED, panel TFT 7.0 inci dengan sambungan Bluetooth, dan port pengecas USB.

Lebih menarik, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan kamera ‘dashcam’ di bahagian hadapan juga tersedia. Ruang simpanan tidak dilupakan, apabila ianya didatangkan dengan dua ruang di bahagian depan (glove box) dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.

Namun begitu, spesifikasi dan ciri-ciri yang disebutkan tadi adalah merujuk kepada model yang ditawarkan di pasaran China. Untuk maklumat yang lebih lengkap dan tepat, sama-samalah kita nantikan pelancaran rasmi model yang bakal bersaing dengan model Honda ADV350 ini.