Kymco X350 2024 diperkenalkan di pasaran China, bakal mencabar Honda ADV350?

Bertempat di Beijing International Motorcycle Exhibition 2024 (17 – 20 Mei) baru-baru ini, Kymco dengan rasminya memperkenalkan sebuah model skuter adventure terbaharu iaitu Kymco X350 2024. Jika model ini dilancarkan di pasaran Malaysia oleh Modenas pada masa akan datang, sudah pasti ianya akan memberikan saingan kepada model skuter Honda ADV350 2024.

Dari segi reka bentuk, Kymco X350 ini didapati mempunyai persamaan dengan model Honda ADV350 dan X-ADV. Enjinnya pula bersesaran 321cc (single-cylinder, water-cooled, SOHC), dengan kuasa maksimum 28.83hp @ 7,500rpm dan tork 30.5Nm @ 5,250rpm. Tangki bahan api 14 liter, tinggi pelana 790 mm, dan saiz tayar 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang).

Pelbagai ciri-ciri menarik melengkapi model skuter adventure ini. Antaranya seperti fork depan jenis upside-down, suspensi belakang berkembar, sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, traction control, sistem lampu LED, panel meter TFT 7.2 inci dengan ciri sambungan Smart Link, sistem kunci keyless, port pengecas USB dan Type C, dan handlebar dengan ciri pemanas.

Selain itu untuk tunggangan jarak jauh yang lebih selesa, turut tersedia ialah skrin penghadang angin boleh laras secara elektrik. Lebih menarik dan menjadikannya lebih canggih, Kymco X350 ini juga dilengkapi kamera perakam (dashcam) di bahagian depan dan belakang, untuk rakaman di sepanjang perjalanan. Sementara itu beratnya berada pada paras 190 kg (curb weight).