WMoto RT1 2024 dilancarkan di Malaysia, harga RM 9,888.00

WMoto Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) pada hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model skuter terbaharu iaitu WMoto RT1 2024. Model tersebut kini menyertai dua model skuter lain di dalam siri RT di pasaran tempatan, iaitu WMoto RT2 dan WMoto RT3S.

Untuk pasaran Malaysia, WMoto RT1 2024 ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 9,888.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Tempoh jaminan yang ditawarkan untuk model skuter tersebut ialah selama dua tahun, dengan jarak perbatuan tanpa had.

Beralih ke bahagian spesifikasi, ianya dilengkapi enjin bersesaran 149.3cc (silinder tunggal, 4-lejang, sejukan cecair) dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan transmisi automatik. Kuasa maksimumnya mencapai 15.4hp @ 8,000rpm dengan tork 14.5Nm @ 6,750rpm.

Spesifikasi lain termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang berkembar boleh laras, sistem brek dengan ABS dwi-saluran, tangki bahan api 9.0 liter, tayar bersaiz 100/80-14 (depan) dan 120/70-14 (belakang), pad pemijak kaki anti-gelincir, dan pedal penumpang aluminium.

Melengkapkan ciri-ciri menarik pada WMoto RT1 2024 ialah Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), panel meter TFT, kamera perakam video 1080p HD di bahagian depan dan belakang, sistem kunci pintar, lampu depan LED dengan DRL, lampu belakang LED, port pengecas USB, skrin penghadang angin, dan ruang storan di bawah tempat duduk yang luas dengan lampu LED.

WMoto RT1 2024 tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Enchanting Blue, Mystique Black dan Dazzling Grey. Seperti mana model-model lain yang diedarkan oleh MForce Bike, turut ditawarkan untuk RT1 ialah khidmat pembelian alat ganti tulen secara di atas talian.