Di pasaran Malaysia pada ketika ini, ramai peminat model skuter adventure Honda ADV350 2024 yang sedang menantikan pelancaran rasminya. Berdasarkan maklumat terkini, model berkenaan bakal dilancarkan tidak lama lagi, dikatakan pada sekitar pertengahan tahun ini.
Bagaimanapun, tidak semua peminat yang akan mampu memiliki Honda ADV350 apabila ianya dilancarkan nanti. Ini kerana harga asasnya yang dimaklumkan akan berada di antara RM 30k sehingga RM 35k. Malah bakal pemiliknya juga perlu memiliki lesen motosikal kelas B Full.
Oleh itu bagi peminat Honda yang mahukan sebuah model skuter maxi dengan harga yang lebih berpatutan serta di bawah RM 30k, dan boleh ditunggang dengan menggunakan lesen motosikal dalam kelas B2, tumpuan mereka kini telah terarah kepada model Honda Forza 250 2024.
Untuk makluman, Honda Forza 250 versi facelift terbaharu telah dilancarkan di pasaran Jepun pada bulan Disember 2022. Ianya kemudian dilancarkan pula di pasaran Indonesia pada bulan Jun 2023. Sementara itu di pasaran Eropah, versi yang ditawarkan ialah Honda Forza 125 dan Honda Forza 350. Kedua-dua model skuter tersebut kini telah sampai ke model tahun 2024.
Honda Forza 350 versi facelift terbaharu turut ditawarkan di pasaran Thailand, yang sebelum ini dilancarkan pada bulan Oktober 2022. Untuk pasaran Malaysia, Honda Forza 350 sudah tentu tidak akan dilancarkan, sebaliknya telah digantikan dengan model Honda Forza 250.
Persoalannya ialah bilakah Honda Forza 250 2024 versi facelift terbaharu akan dilancarkan di pasaran Malaysia? Setakat ini Boon Siew Honda masih menawarkan model Honda Forza 250 2021, yang dilancarkan pada bulan Mac 2021, dengan harga jualan asas RM 25,388.00.
Apa yang boleh diramalkan pada ketika ini ialah Honda Forza 250 2024 versi facelift terbaharu bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun ini, atau mungkin juga pada tahun hadapan. Dengan reka bentuk yang lebih sporty dan moden, ianya pasti akan mendapat sambutan.
Honda Forza 250 2024 apabila dilancarkan nanti, harganya dijangka tidak akan melebihi paras RM 28k. Malah dengan kapasiti enjinnya yang tidak melebihi angka 250cc, bermakna tiada lagi isu atau dilema mengenai keperluan untuk menaik taraf lesen motosikal dari B2 ke B Full.
Imbas kembali spesifikasinya, Honda Forza 250 2024 dilengkapi enjin eSP+ bersesaran 249cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valve, single cylinder) dengan transmisi automatik CVT. Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 23PS @ 7,750rpm dengan tork puncak 24Nm @ 6,250rpm.
Model tersebut seterusnya dilengkapi tangki bahan api 11.7 liter, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem lampu LED dengan sistem lampu ESS (Emergency Stop Signal), panel instrumen digital LCD, sistem Honda Smart Key, port pengecas USB jenis Type-C, dan ruang storan di bawah tempat duduk seluas 48 liter.
Spesifikasi lain termasuklah tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang), tinggi tempat duduk 780 mm, dan berat 186 kg (kerb weight). Untuk pasaran Malaysia, sama-samalah kita berharap yang model skuter ini akan dilancarkan oleh Boon Siew Honda pada tahun ini.