Modenas Ninja ZX-25R SE 2024 diperkenalkan dengan pilihan warna baharu, harga RM 33,900.00

Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) yang merupakan anak syarikat milik penuh Modenas, pada hari ini rasmi memperkenalkan Modenas Ninja ZX-25R SE 2024. Model tersebut kini tampil dengan satu pilihan warna baharu iaitu Metallic Phantom Silver / Ebony (Stormcloud Blue).

Untuk musim 2024, pilihan warna baharu itu akan ditawarkan bersama-sama warna Lime Green / Ebony (KRT Edition), yang sebelum ini diperkenalkan melalui model tahun 2023. Pada masa yang sama, pilihan warna Metallic Matte Graphenesteel Grey / Ebony kini tidak lagi ditawarkan.

Harga jualan asas untuk Modenas Ninja ZX-25R SE 2024 masih kekal sama, iaitu sebanyak RM 33,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Spesifikasi dan ciri-ciri menarik pada model sport bike dengan enjin 250cc empat silinder itu juga kekal seperti sebelumnya.

Imbas kembali, Modenas Ninja ZX-25R SE dilengkapi enjin 250cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) yang menjana 46PS dengan tork 22Nm. Enjin itu dipadankan sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan KQS (Kawasaki Quick Shifter).

Spesifikasi lain termasuklah Power Mode Selection, Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves, fork depan USD 37 mm SFF-BP, sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel, dan aksesori seperti Pillion Seat Cover, Smoked Windshield, Frame Slider dan Wheel Rim Tape.

Turut melengkapinya ialah sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen TFT 4.3 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar, tinggi tempat duduk 785 mm, tayar depan dan belakang bersaiz 110/70-R17 dan 150/60-R17, tangki bahan api 15 liter, dan berat model itu hanyalah 184 kg.

Sementara itu, dikhabarkan Modenas Ninja ZX-25RR 2024 bakal dilancarkan pada bulan Februari 2024 akan datang. Bagi Modenas Ninja ZX-4R 2024 pula, ianya juga dikatakan bakal dilancarkan pada tahun ini. Jadi sama-samalah kita tunggu pelancarannya kedua-duanya.