PT Astra Honda Motor (AHM) pada hari ini rasmi melancarkan model skuter terbaharu Honda Forza 250 2023 untuk pasaran Indonesia. Model tersebut tampil dengan empat pilihan warna menarik iaitu Candy Syrah Wine Red, Pearl Glittering Blue, Pearl Smoky Grey dan Matte Gunpowder Black Metallic.
Harga jualannya pula ditawarkan sebanyak Rp. 90,330,000.00, bersamaan nilai RM 27,919.61 mengikut kadar mata wang semasa. Beralih ke bahagian spesifikasi teknikal, Honda Forza 250 2023 dikuasakan enjin eSP+ bersesaran 249cc (4-valve, SOHC, liquid-cooled) dengan transmisi automatik CVT, seterusnya menghasilkan 23PS @ 7,750rpm dengan tork 24Nm @ 6,250rpm.
Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 11.7 liter. Sistem suspensinya merupakan gabungan di antara fork depan teleskopik dengan penyerap hentak belakang berkembar. Sistem brek cakera depan dan belakangnya masing-masing berdiameter 256 mm dan 240 mm, dan turut dilengkapi sistem ABS Dual Channel. Tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-15 dan 140/70-14. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 780 mm.
Spesifikasi menarik lain termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem lampu LED dengan Emergency Stop Signal (ESS), panel meter gabungan analog dan digital, Honda Smart Key, pengecas USB, skrin penghadang angin boleh laras elektrik, dan ruang barangan seluas 48 liter di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah topi keledar.