Keeway TX450R 2024 bersedia untuk aksi penjelajahan off-road

Bertempat di EICMA 2023, Keeway turut tidak ketinggalan mempamerkan model terbaharunya di dalam segmen enduro iaitu Keeway TX450R 2024. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 449cc (1-cylinder, 4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan.

Enjin berprestasi itu menawarkan kuasa maksimum 42.9hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 38Nm @ 7,000rpm. Kelajuan maksimumnya pula menurut siaran akhbar rasmi ialah 125 km/j. Untuk perjalanan lebih jauh, dua tangki bahan apinya menawarkan kapasiti sehingga 28 liter.

Melengkapkan spesifikasi Keeway TX450R termasuklah fork depan USD (adjustable), suspensi belakang monoshock Pro-link (preload adjustable), sistem brek cakera dengan ABS dua saluran, tayar bersaiz 90/90-21 (depan) dan 140/70-18 (belakang), dan tinggi tempat duduk 875 mm.

Sistem lampu kesemuanya LED, manakala panel meter TFT tampil dalam saiz 5.0 inci. Dengan jarak kelegaan tanah sehingga 255 mm, ianya mampu meredah pelbagai bentuk muka bumi dan jalan. Lebih dari itu, Keeway TX450R 2024 ini juga sah untuk digunakan di jalan raya biasa.