Pada bulan November yang lepas bertempat di acara EICMA 2023, SYM secara rasminya telah memperkenalkan sebuah model skuter adventure terbaharu iaitu SYM ADXTG 400 2024. Model tersebut setakat ini dikatakan bakal dilancarkan di pasaran global bermula pada tahun depan.
Menurut SYM, rekaan ADXTG 400 telah diinspirasikan daripada haiwan pemangsa purba yang dikenali sebagai “saber-toothed tiger”. Ini membolehkan model skuter adventure yang sporty itu untuk meredah pelbagai bentuk muka bumi dan laluan yang serba mencabar di mana sahaja.
SYM ADXTG 400 dilengkapi enjin bersesaran 399cc, di samping dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik. Ianya termasuklah lengan ayun aluminium yang kukuh jenis Euro-style, yang kemudiannya digandingkan dengan sistem suspensi monoshock Multilink di bahagian tengah.
Selain itu ianya dilengkapi skrin penghadang angin dan handlebar boleh laras, handlebar jenis tirus (tapered) yang direka untuk mobiliti di jalan tidak berturap, handguard, fork depan dengan jarak travel yang tinggi untuk lebih keselesaan, tayar jenis dual sport, dan juga pengecas USB.
Lebih dari itu, SYM ADXTG 400 ini merupakan model pertama SYM yang dilengkapi sistem ABS canggih buatan Bosch dengan mod off-road (rear ABS off, front ABS tone down) dan TCS yang boleh dinyahaktifkan. Melengkapkan ciri keselamatannya ialah Emergency Brake Light (EBL).
Melihat kepada penampilan keseluruhan, spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan untuk SYM ADXTG 400 2024 ini, tidak syak lagi yang ianya bakal mencabar Honda ADV350 2024. Pastinya menarik jika kedua-dua model skuter adventure itu akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia.