Kymco AK550 Premium 2023 dipaparkan di dalam laman sesawang Modenas

Antara model terbaharu yang bakal dilancarkan oleh Modenas tidak lama lagi ialah model skuter maxi Kymco AK550. Terkini, paparan model skuter tersebut telah muncul di dalam laman sesawang rasmi Modenas, dan versi yang dipaparkan itu ialah Kymco AK550 Premium 2023.

Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa Modenas akan melancarkan model tersebut dalam masa yang terdekat, seperti mana yang diperkatakan sebelum ini iaitu pada bulan Januari 2024. Boleh jadi juga tempahan sudah boleh dibuat di mana-mana wakil pengedar yang berdekatan.

Melihat kepada spesifikasinya, Kymco AK550 Premium ini dikuasakan enjin bersesaran 550.4cc (In-line twin-cylinder, 4-Stroke, DOHC, Liquid-cooled) dengan transmisi automatik CVT. Jumlah kuasa maksimumnya mencapai 50.9hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 52Nm @ 6000rpm.

Antara ciri-ciri menarik lain pada model skuter tersebut termasuklah Advanced Intelligent Braking System (Cornering ABS), sistem pendikit elektronik, sistem kawalan dan penghidup keyless, dua mod tunggangan Standard dan Rain, Traction Control, Cruise Control, pemanas genggaman tiga tahap, sistem sambungan Noodoe, tinggi tempat duduk 785 mm, dan ruang bagasi yang luas.

Kymco AK550 Premium turut dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital, tangki bahan api 14.5 liter, fork depan USD 41 mm, sistem brek cakera depan Brembo (4-piston calipers, dual 270 mm floating discs), dan sepasang tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 160/60-15 (belakang).

Untuk pasaran Malaysia, anggaran harga Kymco AK550 Premium ini dikatakan berada di bawah harga Yamaha TMAX 560 Tech Max 2022, yang dijual dengan harga asas RM 74,998.00. Untuk maklumat selanjutnya yang lebih tepat, sama-samalah kita tunggu pelancaran rasminya nanti.