Pasaran Thailand baru-baru ini rasmi menerima pelancaran model kapcai bergaya adventure terbaharu Yamaha PG-1 2024, yang tampil dengan reka bentuk menarik dan unik.
Setakat ini hanya negara Thailand dan Vietnam sahaja yang menawarkan model tersebut. Jadi timbul persoalan adakah Malaysia akan menjadi pasaran Yamaha PG-1 seterusnya?
Dengan melihat kepada citarasa rakyat Malaysia selama ini, model kapcai adventure seperti ini sebenarnya kurang diminati. Tambahan pula harga jualannya yang boleh dikatakan tinggi.
Di pasaran Thailand, Yamaha PG-1 mempunyai tanda harga sebanyak 64,900 THB, bersamaan RM 8,697.38. Harga tersebut hampir menyamai harga model-model moped popular.
Enjinnya pula hanya berkapasiti 114cc (4-stroke, single cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled) dengan kotak gear empat kelajuan, tiada daya penarik untuk peminat motosikal tempatan.
Oleh itu dirasakan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) tentu keberatan untuk melancarkannya di pasaran negara kita, kerana nilai pasaran model ini berada dalam ‘niche’ yang terlalu kecil.
Pasaran Malaysia sehingga kini masih menjadi pasaran terbesar untuk model-model motosikal di dalam segmen moped, mengatasi pasaran negara-negara lain di rantau ASEAN.
HLYM ketika ini sudah mempunyai banyak model-model kapcai dan moped yang menarik dan laris. Jadi harapan untuk kita melihat Yamaha PG-1 ini dilancarkan sangatlah tipis.