Yamaha MT-09 2024 diperkenalkan dengan gaya penampilan baharu

Yamaha dengan rasminya memperkenalkan model naked Yamaha MT-09 2024, dengan gaya dan penampilan baharu yang lebih sporty berbanding model Yamaha MT-09 2023. Ketika ini model itu ditawarkan di pasaran Eropah, dalam tiga pilihan warna Midnight Cyan, Icon Blue dan Tech Black. Enjinnya bersesaran 890cc (4-stroke, Liquid-cooled, DOHC, 4-valves, In-Line Three-Cylinder) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, bersama-sama sistem quickshifter generasi ketiga.

Enjin berkuasa tinggi itu menjana sehingga 119PS @ 10,000rpm dengan tork 93Nm @ 7,000rpm. Antara ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha MT-09 2024 termasuklah lampu depan LED yang lebih kompak, sistem brek kini dengan radial master cylinder Brembo, fork depan KYB boleh dilaraskan sepenuhnya, panel TFT 5″ berwarna dengan sistem sambungan dan paparan navigasi Garmin StreetCross, Six-axis IMU dengan Back Slip Regulator (BSR), dan sistem Cruise Control.