Honda Forza 750 2024 terima kemaskini warna baharu di pasaran Eropah

Honda Motor Europe kini memperkenalkan Honda Forza 750 2024, dengan kemaskini warna baharu yang lebih menarik. Empat pilihan warna yang ditawarkan itu ialah Candy Chromosphere Red (warna baharu), Mat Ballistic Black Metallic, Iridium Gray Metallic, dan juga Mat Jeans Blue Metallic.

Bagi warna Mat Ballistic Black Metallic, ianya merupakan warna dari musim 2023, namun disegarkan semula penampilannya dengan penggunaan rim roda dan logo berwarna emas. Begitu juga dengan warna Iridium Gray Metallic, di mana pelindung di bawah enjinnya kini berwarna Graphite Black.

Pilihan warna Mat Jeans Blue Metallic juga dibawakan daripada model tahun 2023, tanpa sebarang perubahan terkini. Di bahagian teknikal, Honda Forza 750 2024 kekal dengan spesifikasi dari musim sebelumnya, antaranya enjin 745cc (liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve, SOHC, parallel 2-cylinder).

Enjin berprestasi tinggi dengan sistem transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan itu menawarkan kuasa maksimum 57.8hp @ 6,750rpm dengan tork puncak 69Nm @ 4,750rpm. Skuter maxi premium seberat 235 kg (kerb weight) itu kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 13.2 liter.

Honda Forza 750 2024 dilengkapi fork depan USD 41 mm, suspensi belakang Pro-Link, roda depan dan belakang bersaiz 17 inci dan 15 inci, brek cakera depan berkembar 310 mm (radial-mount four-piston brake calipers), brek cakera belakang tunggal 240 mm, dan juga sistem ABS Dual Channel.

Pelbagai ciri-ciri menarik lain termasuklah Throttle By Wire, tiga mod tunggangan RAIN, STANDARD dan SPORT, Honda Selectable Torque Control (HSTC) tiga tahap, panel TFT 5.0 inci dengan Honda Smartphone Voice Control, dan sistem lampu LED bersama-sama Emergency Stop Signal (ESS).

Turut melengkapinya ialah sistem Smart Key, soket pengecas USB-C, ruang penyimpanan di bawah tempat duduk seluas 22 liter yang boleh memuatkan helmet bermuka penuh, dan ruang kompatmen di bahagian depan yang mudah diakses dan terletak di bahagian dalam fairing pada posisi kanan.