Honda CB250R 2022 dengan rasminya diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 18hb. Ogos 2022 yang lalu. Model ‘Neo Sports Café’ itu tampil dengan dua pilihan warna yang menarik iaitu Candy Chromosphere Red dan Mat Gun Powder Black Metallic.
Harga jualan asasnya berada pada paras berpatutan, apabila ditawarkan sebanyak RM 23,999.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempoh jaminannya selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan (mana-mana yang terdahulu).
Honda CB250R dilengkapi enjin satu silinder bersesaran 250cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC), dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Prestasi maksimumnya 27.2hp @ 9,500rpm dengan tork 23.4Nm @ 7,750rpm.
Model naked seberat 144 kg (curb weight) itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api 10.1 liter, fork depan terbalik Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, dan suspensi belakang monoshock dengan pelarasan prabeban lima tahap.
Brek cakera depannya berdiameter 296 mm, bersama-sama cakera belakang 220 mm. Melengkapkan sistem brek itu ialah ABS Dual-Channel yang dikawal secara dinamik oleh IMU (Inertial Measurement Unit), untuk daya agihan brek yang sama rata.
Spesifikasi menarik lain pada Honda CB250R 2022 ini termasuklah panel meter digital LCD dan sistem lampu LED sepenuhnya. Akhir sekali, model tersebut dilengkapi tayar berukuran 110/70-17 dan 150/60-17. Tinggi tempat duduknya mencapai 800 mm.