Warna baharu Yamaha Ténéré 700 2023 di pasaran Jepun

Model adventure Yamaha Ténéré 700 2023 diperkenalkan di pasaran Jepun, kini tampil dengan dua warna baharu Deep Purplish Blue Metallic dan Matt Dark Gray Metallic.

Satu lagi pilihan warna yang ditawarkan ialah Radical White, yang dibawakan daripada musim 2022. Tarikh model itu mula berada di pasaran Jepun ialah 08hb. Mac 2023.

Setakat ini, Yamaha Ténéré 700 2023 yang ditawarkan di pasaran Jepun kekal dengan spesifikasi sebelumnya, berbanding naik taraf terkini untuk model di pasaran Eropah.

Jentera adventure tersebut dilengkapi enjin bersesaran 688cc (In-line, 2-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valves), yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Prestasi yang dihasilkan oleh enjin dua silinder itu mencapai 73PS @ 9,000rpm dengan tork setinggi 69Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 16 liter.

Ciri-ciri menarik pada Yamaha Ténéré 700 2023 ini antaranya ialah casis double cradle yang kukuh dan ringan, yang turut menyumbang kepada berat keseluruhan 205 kg.

Selain itu ianya dilengkapi fork depan terbalik, suspensi belakang ‘link-type monocross suspension’, sistem brek cakera Brembo, dan sistem ABS dengan ciri boleh dimatikan.

Sistem lampu depan dan belakangnya merupakan jenis LED, dan ianya turut dilengkapi paparan digital LCD yang mudah dibaca dan lengkap dengan petunjuk gear dan ECO.

Jentera pengembaraan itu seterusnya menggunakan tayar depan dan belakang Pirelli Scorpion Rally STR dengan rim jenis berjejari, dalam saiz 90/90-21 dan 150/70-18.

Untuk tunggangan yang selesa, tempat duduknya tampil rata dengan ketinggian hanya 875 mm. Akhir sekali harga jualannya ialah sebanyak 1,342,000 Yen (RM 44,117.10).