Yamaha Ténéré 700 2023 terima naik taraf terkini untuk pasaran Eropah

Jentera adventure Yamaha Ténéré 700 2023 baru saja diperkenalkan di pasaran Eropah, kini tampil dengan beberapa naik taraf terkini yang lebih menarik. Antaranya model itu kini telah menerima dua pilihan warna baharu Icon Blue dan Tech Kamo, di samping kemaskini grafik terkini, dan ianya turut  dilengkapi skrin TFT 5.0 inci baharu dengan dua pilihan tema paparan iaitu “Explorer” dan “Street”.

Selain itu Yamaha Ténéré 700 2023 kini telah mempunyai ciri canggih sistem sambungan, yang kini membolehkannya berhubung dengan telefon pintar menggunakan aplikasi Yamaha My-Ride. Bagi sistem ABS pula yang dulunya hanya menawarkan dua mod ON dan OFF, kini ianya hadir dengan tiga pilihan mod sama ada Full ON, Front wheel ON rear wheel OFF, atau Full OFF sepenuhnya.

Naik taraf lain ialah model tersebut kini tersedia secara ‘pre-wired’ untuk kemudahan pemasangan sistem aksesori Quick Shifter, soket pengecas USB baharu kini menggantikan soket terdahulu 12V, lampu signal kini telah LED, dan untuk ketahanan yang lebih baik, tuil brek hadapannya telah direka bentuk semula untuk menahan kerosakan yang tidak disengajakan, jika jentera tersebut terjatuh.

Yamaha Ténéré 700 2023 kekal dikuasakan enjin dalam sesaran 689cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC, Euro 5) dengan gandingan transmisi enam kelajuan. Enjin itu menawarkan prestasi maksimum 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini dikhabarkan ianya bakal dilancarkan oleh HLYM tidak lama lagi, jadi sama-samalah kita tunggu.