Benelli TNT 899 2022 di pasaran China, harga RM 51,411.10

Model naked Benelli TNT 899 2022 diperkenalkan di pasaran China pada penghujung tahun lepas, dengan harga jualan sebanyak CNY 79,800, bersamaan RM 51,411.10.

Model tersebut masih mengekalkan reka bentuk sama seperti mana generasi terdahulu, membuatkan ramai yang tertanya-tanya kenapa model naked tersebut kembali semula.

Benelli TNT 899 2022 memiliki enjin 898cc (liquid-cooled, 3-cylinder, 4-stroke, 12-valve) dengan kuasa maksimum 118hp @ 10,000rpm dan tork maksimum 88Nm @ 8,000rpm.

Enjin itu dipadankan sistem transmisi enam kelajuan. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 15.5 liter, yang turut menyumbang kepada berat keseluruhan motosikal kepada 210 kg.

Fork depannya ialah Marzocchi 50 mm, diikuti suspensi belakang monoshock (rebound & preload adjustable) dan sistem brek daripada Brembo dengan teknologi Bosch ABS.

Benelli TNT 899 seterusnya dilengkapi tayar depan dan belakang dalam saiz 120/70-17 190/50-17. Tinggi tempat duduknya 820 mm, dengan jarak kelegaan tanah 130 mm.

Sebagai sebuah model baharu yang moden, Benelli TNT 899 kini dilengkapi lampu LED di bahagian depan, paparan panel meter digital TFT 5.0 inci, dan juga pengecas USB.

Untuk pasaran China, ianya hadir dengan empat pilihan warna menarik. Adakah Benelli TNT 899 2022 ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia? Sama-samalah kita tunggu.