Honda CBR250RR SP 2023 kini secara rasmi dilancarkan di pasaran Thailand, dengan skim warna Tri-color dan harga yang bermula dari THB 269,000 (RM 35,573.79).
Model sport bike tersebut merupakan kesinambungan daripada model sebelumnya iaitu Honda CBR250RR SP 2022, namun kini tampil dengan beberapa naik taraf terkini.
Ianya termasuklah perubahan pada bahagian wajah depan, fairing sisi dan cover tangki bahan api, sama seperti model yang dilancarkan di pasaran Indonesia dan Jepun.
Lebih menarik, model berkenaan kini didatangkan Hazard Light baharu, suspensi depan Upside-Down Big Piston Fork (BPF) baharu, dan sepasang rim aloi aluminium baharu.
Spesifikasi lain pada Honda CBR250RR SP 2023 di pasaran Thailand ini adalah seperti enjin 249cc (4-Stroke, 8-Valve, Parallel Twin) dengan sistem transmisi enam kelajuan.
Di samping itu ialah Assist & Slipper Clutch, Quick Shifter, 3 Riding Modes, Throttle-By-Wire, Pro-Link Rear Suspension, Aluminium Swingarms, dan juga Dual Exhaust Pipes.
Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda masih lagi menawarkan Honda CBR250RR 2022. Diharapkan varian SP bagi tahun 2023 ini akan tiba di pasaran Malaysia nanti.