Sejak awal tahun ini, model kapcai bertaraf legenda iaitu Honda EX5 dengan rasminya telah ditamatkan pengeluarannya, dan tiada maklumat mengenai penggantinya.
Namun begitu jika pihak Boon Siew Honda mahu melancarkan sebuah model terbaharu sebagai Honda EX5 2023, mungkinkah ianya akan diasaskan daripada model ini?
Di pasaran negara Kemboja (Cambodia), terdapat sebuah model kapcai dengan rekaan yang boleh dikatakan mirip Honda EX5, dikenali sebagai Honda Dream 125 2023.
Model tersebut dilengkapi enjin 123.94cc dengan sistem PGM-FI, namun jumlah kuasa dan torknya tidak didedahkan. Sistem transmisinya hadir dengan empat kelajuan.
Honda Dream 125 2023 di pasaran Kemboja itu turut dilengkapi lampu depan LED, dan gaya penampilan keseluruhannya boleh dikatakan sporty dan kelihatan mewah.
Setakat ini tiada sebarang berita sama ada pihak Boon Siew Honda akan melancarkan semula Honda EX5 2023 generasi baharu, namun perkara itu tidaklah mustahil.
Honda EX5 sehingga kini dikenang sebagai salah sebuah model kapcai popular pilihan ramai rakyat Malaysia sebelum ini. Namun kini ianya telah pun menjadi sejarah.