Sama ada peminat motosikal tempatan sedar atau tidak, model kapcai Honda EX5 tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia, bermula sejak bulan Januari 2023 yang lalu.
Generasi terakhir model tersebut sebelum ini diperkenalkan pada tarikh 24hb. Februari 2022, sebagai versi Limited Edition dengan pengeluaran terhad hanya 2,000 unit.
Setakat ini setelah beberapa bulan berlalu, tiada tanda-tanda bahawa model berkenaan akan membuat kemunculan semula, dan mungkin setakat itu sahajalah sejarahnya.
Honda EX5 buat pertama kalinya dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 1987, dan sejak itu ianya menjadi sebuah model kapcai empat lejang yang sangat popular.
Ketika ini di pasaran tempatan, model yang mungkin menjadi pengganti kepada Honda EX5 ialah Honda Wave Alpha 2023, yang dilancarkan dalam bulan Januari 2023.
Namun untuk anda yang masih mahu memiliki Honda EX5 yang diakui bertaraf legenda itu, masih terdapat beberapa buah unit terakhir yang diiklankan di dalam Mudah.my.
Namun harga jualannya kini bermula dari RM 8,500.00 sehingga RM 12,000.00, khusus untuk peminat tegar. Tidak mustahil jika harganya akan meningkat sehingga RM 20k.