Honda EX5 Limited Edition 2022 kini dijual dengan harga asas mencecah RM 9,500.00, apakah sebabnya?

Pada bulan Februari 2022 yang lalu, Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan model terbaharu Honda EX5 Limited Edition 2022. Model tersebut tampil dengan satu pilihan warna tunggal Extravagant Gold Metallic, dan ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 5,198.00 sahaja (tidak termasuk kos insuran, cukai jalan dan pendaftaran).

Sebagai sebuah model edisi terhad, Honda EX5 Limited Edition 2022 itu hanya tersedia dalam jumlah 2,000 unit sahaja untuk pasaran di seluruh Malaysia. Sehingga kini model tersebut masih lagi ditawarkan, dengan iklan mengenainya boleh dilihat di dalam laman jual beli popular Mudah.my. Namun apa yang mengejutkan ialah mengenai harganya.

Berdasarkan iklan daripada penjual @ kedai motosikal di dalam Mudah.my, Honda EX5 Limited Edition 2022 kini dijual pada harga asas yang lebih tinggi di antara RM 7,499.00 sehingga RM 9,500.00. Kenaikan harga yang tinggi untuk sesebuah model yang masih lagi berada di pasaran itu sememangnya mengejutkan dan menimbulkan persoalan.

Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian, terdapat beberapa sebab yang jelas kenapa harga Honda EX5 Limited Edition 2022 ini telah meningkat begitu tinggi. Antaranya ialah model ini mungkin merupakan model terakhir Honda EX5 yang masih lagi ditawarkan di pasaran tempatan, dan unit-unit terakhirnya ini bakal menjadi rebutan oleh peminatnya.

Bagi pihak pekedai pula, setiap model motosikal popular yang kini semakin terhad dan bakal berstatus ‘rare’, apatah lagi berada dalam kondisi NOS (New Old Stock), pastinya mempunyai nilai yang tersendiri. Adalah suatu kerugian jika model tersebut dijual pada harga rendah, sedangkan peminatnya sanggup membeli pada harga yang lebih tinggi.

Jadi untuk peminat setia Honda EX5, pengumpul koleksi atau apa saja alasan, peluang anda untuk memiliki sebuah model bertaraf legenda ketika ini masih ada. Tidak mustahil harganya nanti akan meningkat ke paras yang lebih tinggi sehingga mencecah puluhan ribu. Untuk peminat biasa pula, adakah anda sanggup membeli model ini sekarang?