Untuk pasaran domestik Jepun, model skuter Honda PCX 2023 kini telah diperkenalkan dengan pilihan warna baharu Matte Suit Blue Metallic dan Matte Mine Brown Metallic.
Di samping itu, tiga pilihan warna terdahulu iaitu Matt Dim Gray Metallic, Pearl Jasmine White dan Poseidon Black Metallic masih lagi dikekalkan untuk musim baharu 2023.
Perubahan terkini lain ialah tempat duduk model berkenaan kini tampil berwarna hitam sepenuhnya, dan enjinnya kini telah mematuhi piawaian emisi paling terkini di Jepun.
Honda PCX 2023 memiliki enjin eSP+ bersesaran 124cc (liquid-cooled, 4-stroke, OHC, 4-valve) dengan kuasa maksimum 12.5PS @ 8,750rpm dan tork 12Nm @ 6,500rpm.
Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik V-Matic. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 8.1 liter. Sistem breknya lengkap dengan ABS satu saluran.
Spesifikasi dan ciri-ciri menariknya yang lain antaranya ialah Idling Stop System, Honda Selectable Torque Control, Smart Key, pengecas USB, meter digital, dan lampu LED.
Honda PCX 2023 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 764 mm, dan saiz tayar depan dan belakangnya 110/70-14 dan 130/70-13. Berat model itu mencapai 133 kg.
Untuk pasaran Jepun, ianya telah ditawarkan mulai tarikh 26hb. Januari 2023 yang lalu. Harga jualannya pula ditetapkan sebanyak 363,000 Yen, bersamaan RM 11,966.50.