Honda ADV160 2023 dilancarkan, harga asas RM 12,999.00

Boon Siew Honda hari ini rasmi melancarkan model skuter adventure terbaharu Honda ADV160 2023, sebagai pengganti kepada model terdahulu Honda ADV150 2021.

Untuk pasaran Malaysia, Honda ADV160 2023 dengan reka bentuk facelift terbaharu ini tampil dengan dua pilihan warna iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Vivacity Red.

Berbanding generasi sebelumnya, Honda ADV160 kini dilengkapi enjin eSP+ yang lebih besar iaitu 156.9cc (4-valve, SOHC, liquid-cooled), dan dipadankan transmisi V-Matic.

Enjin serba moden itu menawarkan kuasa maksimum 15.82hp @ 8,500rpm dengan tork 14.7Nm @ 6,500rpm, serta lebih ekonomi dengan teknologi Idling Stop System (ISS).

Berbanding Honda ADV150, Honda ADV160 kini mempunyai beberapa kelebihan yang lebih menarik, antaranya dilengkapi sistem HSTC (Honda Selectable Torque Control).

Selain itu skrin penghadang angin boleh laras kini lebih tinggi, ketinggian tempat duduk kini lebih rendah kepada 780 mm, dan ruang utiliti yang lebih luas sehingga 30 liter.

Honda ADV160 juga dilengkapi pengecas USB baharu di dalam kotak konsol dan panel meter digital LED baharu yang lebih lasak dengan pelbagai fungsi dan juga informasi.

Melengkapkan lagi model skuter adventure itu ialah Honda Smart Key, lampu belakang LED dengan Emergency Stop Signal (ESS), dan suspensi belakang dengan subtank.

Honda ADV160 seterusnya dilengkapi sistem brek cakera dengan ABS Single Channel, tangki bahan api 8.1 liter, dan tayar depan dan belakang 110/80-R14 dan 130/70-R13.

Harga jualan asasnya ialah sebanyak RM 12,999.00, dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km. Honda ADV160 2023 ini akan berada di pasaran mulai esok.