Kove 400RR 2023 dilengkapi enjin 399cc empat silinder, jentera sport bike buatan China

Sejauh manakah seriusnya pengeluar motosikal dari China mahu bersaing di pentas antarabangsa setakat ini? Melihat kepada pengeluaran model-model terbaharu di pasaran China, boleh dikatakan mereka sangat serius. Antaranya dibuktikan melalui pelancaran model terbaharu Kove 400RR 2023 ini, yang dilengkapi enjin 399cc dengan empat silinder (4 cylinders, vertical, DOHC, liquid-cooled).

Menurut pengeluarnya, enjin itu telah dibangunkan sendiri oleh jurutera mereka secara bebas, dan ianya mampu menawarkan kuasa maksimum 67hp @ 13,500rpm dengan tork 36Nm @ 12,000rpm. Kelajuan maksimum jentera sport bike itu pula dikatakan mencecah 220 km/j. Dengan tangki bahan api 15 liter, berat Kove 400RR ini hanyalah 160 kg, dan dikatakan paling ringan di dalam kelasnya.

Spesifikasi teknikal lain pada model tersebut tidak kurang hebatnya, seperti fork depan jenis terbalik dan suspensi belakang monoshock, brek cakera depan berkembar 300 mm, brek cakera belakang 220 mm, sistem lampu LED, dan tayar bersaiz 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang). Untuk pasaran Malaysia, adakah jentera ini akan mendapat sambutan jika ianya turut dilancarkan nanti?