Honda CB150X 2023 diperkenalkan dengan warna baharu Sahara Matte Brown

PT Astra Honda Motor (AHM) memperkenalkan Honda CB150X 2023, yang kini tampil dengan satu pilihan warna terbaharu Sahara Matte Brown. Tiga pilihan warna terdahulu yang masih ditawarkan ialah Mandala Red, Amazon Matte Green dan Volcano Matte Black (warna Special Edition). Harga yang ditawarkan untuk model adventure itu di pasaran Indonesia adalah seperti senarai berikut :

  • CB150X – Sahara Matte Brown : Rp. 33,660,000 (RM 9,574.45)
  • CB150X – Mandala Red : Rp. 33,660,000 (RM 9,574.45)
  • CB150X – Amazon Matte Green : Rp. 33,660,000 (RM 9,574.45)
  • CB150X – Volcano Matte Black (SE) : Rp. 34,165,000 (RM 9,718.09)

Honda CB150X sebelum ini diperkenalkan buat pertama kali di pasaran Indonesia pada November 2021 yang lepas. Enjinnya bersesaran 149.16cc (DOHC, 4-valve, PGM-FI) dengan transmisi enam kelajuan, yang menawarkan kuasa maksimum 15.6PS @ 9,000rpm dengan tork setinggi 13.8Nm @ 7,000rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, model berkenaan dilengkapi tangki bahan api 12 liter.

Honda CB150X seterusnya dilengkapi spesifikasi dan ciri-ciri seperti fork depan upside-down, skrin penghadang angin yang tinggi, tapered handlebar, adventure style undercowl, paparan meter digital penuh, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem brek cakera depan dan belakang, serta penggunaan tayar dalam siri 100/80-17 (depan) dan 130/70-17 (belakang). Berat kering jentera itu ialah 139 kg.

Setakat ini Honda CB150X juga ditawarkan di pasaran Filipina. Untuk pasaran Malaysia pula, buat masa ini masih belum ada sebarang berita rasmi mengenai pelancarannya oleh Boon Siew Honda.