Pada bulan Oktober 2022 yang lalu, pasaran Thailand menjadi yang pertama menerima pelancaran model skuter Honda Forza 350 2023 versi facelift terbaharu. Ianya menggantikan model terdahulu Honda Forza 350 2021, yang diperkenalkan di pasaran Thailand pada bulan September 2021. Kini Honda Forza 350 2023 rasmi dilancarkan untuk pasaran Eropah, bertarikh 08hb. November 2022.
Untuk pasaran Eropah, Honda Forza 350 2023 tampil dengan lima pilihan warna menarik iaitu Pearl Siena Red, Matt Robust Gray Metallic, Matt Pearl Pacific Blue, Matt Cynos Gray Metallic dan Pearl Falcon Gray. Hanya satu pilihan varian sahaja ditawarkan iaitu varian teratas dengan sistem Honda Smartphone Voice Control (HSVC), manakala pasaran Thailand turut ditawarkan varian Standard.
Di bahagian enjinnya, Honda Forza 350 2023 dikuasakan enjin eSP+ bersesaran 330cc (4 stroke, 4 valve, liquid-cooled) dengan gandingan transmisi automatik CVT. Enjin yang bertenaga dan bertaraf Euro 5 itu menghasilkan kuasa maksimum 28.83hp @ 7,500rpm dengan tork 31.5Nm @ 5,250rpm. Dengan tangki bahan api 11.7 liter, model skuter tersebut mampu pergi sejauh 340 km+ perjalanan.
Selain daripada perubahan facelift terbaharu yang kini lebih sporty, ciri-ciri menarik lain pada Honda Forza 350 2023 turut merangkumi Smart Key, sistem lampu LED, panel instrumen digital LCD yang memaparkan pelbagai fungsi terbaharu, HSTC, skrin penghadang angin boleh laras, port pengecas USB Type-C, sistem brek ABS 2-Channel, dan juga sistem lampu ESS (Emergency Stop Signal).
Selanjutnya, Honda Forza 350 2023 mempunyai ruang storan yang luas di bawah tempat duduknya yang mampu memuatkan dua buah helmet full-face, berdiri di atas tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang), tinggi tempat duduk 780 mm, dan beratnya hanya 186 kg (kerb weight). Untuk pasaran Malaysia, pastinya Honda Forza 250 2023 akan dilancarkan oleh Boon Siew Honda.