Untuk pasaran Thailand, Honda Forza 350 2020 buat pertama kalinya diperkenalkan secara rasmi dalam bulan Julai 2020 yang lepas. Kini versi terbaharu model berkenaan iaitu Honda Forza 350 2021 baru saja dilancarkan di pasaran Thailand, tampil dengan beberapa kemaskini dan naik taraf terbaharu yang lebih menarik dan lebih canggih.
Honda Forza 350 2021 untuk pasaran Thailand kini didatangkan dalam dua varian iaitu RoadSync dan Standard. Bagi varian RoadSync, ianya boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Black dan Grey-Black, bersama-sama rim roda berwarna emas. Bagi varian Standard, empat pilihan warnanya ialah Black, Grey-Black, Red-Black dan Blue-Black.
Varian RoadSync sebagai varian premium, ianya kini dilengkapi sistem penyambungan canggih yang dikenali sebagai HSVCs (Honda Smartphone Voice Control System). Ciri tersebut sebelum ini merupakan pilihan yang ditawarkan untuk model Honda Forza 350 2021 yang dilancarkan di pasaran Eropah, pada pertengahan Oktober 2020 yang lalu.
Melalui HSVCs dan juga panel instrumen baharu dengan ciri penyambungan Bluetooth, penunggang Honda Forza 350 2021 varian RoadSync kini boleh menjawab panggilan telefon, membuat panggilan telefon, menghidupkan sistem navigasi, mendengar muzik, dan malah boleh menghantar mesej dengan mudah menggunakan hujung hari sahaja.
Honda Forza 350 dikuasakan enjin eSP+ bersesaran 329.6cc (4 stroke, 4 valve, liquid-cooled, PGM-FI) yang dipadankan dengan transmisi automatik V-Matic. Model tersebut turut dilengkapi sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC), dan mampu menjana kuasa maksimum 28.8hp @ 7,500rpm dengan tork maksimum 31.5Nm @ 5,250rpm.
Kelajuan maksimumnya dikatakan mencecah 137 km/j, manakala kapasiti penuh tangki bahan apinya sebanyak 11.5 liter mempunyai potensi jarak perjalanan kira-kira 340 km. Untuk pengendalian terbaik, Honda Forza 350 dilengkapi tayar depan dalam siri 120/70-15 M/C 56P (tubeless) dan tayar belakang dalam siri 140/70-14 M/C 62P (tubeless).
Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah skrin penghadang angin 150 cm boleh laras, sistem lampu LED sepenuhnya, ESS (Emergency Stop Signal), panel instrumen digital dengan pelbagai informasi dan fungsi moden, sistem kunci Honda Smart Key / Honda Smart Controller, pengecas USB dan pemegang botol terbina dalam di konsol depan.
Untuk keselamatan, skuter maxi sporty itu dibekalkan brek cakera depan dan belakang, bersama-sama sistem brek ABS 2-channel. Untuk pasaran Thailand, Honda Forza 350 2021 varian RoadSync ditawarkan pada harga 177,500 THB (RM 22,390.21), manakala varian Standard memiliki tanda harga 175,500 THB, iaitu bersamaan RM 22,137.93.